Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengadakan perbincangan dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali, serta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi meneliti kaedah dalam mekanisme pelaporan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam perkhidmatan awam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata mekanisme berkenaan perlu diperincikan kerana ia membabitkan pelbagai peringkat dalam perkhidmatan awam.
“Kita akan berbincang dengan JPA dan KSN untuk melihat kaedah dalam mekanisme pelaporan itu kerana bawah undang-undang, khususnya Akta SPRM, ia menjadi kewajipan (untuk melaporkan salah laku dan rasuah)… ini boleh menyebabkan (penjawat awam) dibuang kerja sekiranya didapati bersalah.
“Itu undang-undang tetapi dalam perancangan sekarang, kita perlu berbincang dengan JPA dan KSN terlebih dahulu,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Buku ‘The Sin Of Corruption – A Religious Perspective’, di sini, hari ini.
Pada Isnin lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan amanat pada perhimpunan bersama warga Jabatan Perdana Menteri, mahu supaya tiada kenaikan pangkat bagi ketua jabatan jika wujud salah laku serta amalan rasuah penjawat awam di bawahnya tetapi tidak dilaporkan.
Perdana Menteri dipetik berkata, tindakan itu perlu dilaksanakan kerana agak mustahil untuk ketua jabatan atau ketua unit ‘tidak tahu’ atau menutup mata mengenai wujudnya kecurangan dalam pentadbiran masing-masing.
Mengulas lanjut, Azam berkata, saranan disuarakan Anwar itu jelas menunjukkan kepentingan akauntabiliti pada semua ketua jabatan dan unit dalam perkhidmatan awam.
“Sekiranya perkara ini tidak diambil berat, ia akan menyebabkan keruntuhan dalam penjawat awam. Justeru, perlu ada mekanisme pelaporan pada pelbagai peringkat. Ia bukan saja membabitkan ketua jabatan tetapi juga penyelia kerana penyelia ada di banyak peringkat,” katanya.-BH Online