Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Sebuah syarikat daripada New Zealand yang terbabit dalam bidang farmaseutikal bersetuju untuk melabur sebanyak RM300 juta di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata Negeri Sembilan masih kekal antara negeri yang mendapat sokongan daripada pelabur tempatan dan luar negara dari segi membangunkan Taman Perindustrian Halal di negara ini.

“Saya baru balik dari New Zealand dalam misi meneroka usaha sama dengan Negeri Sembilan, khususnya dalam industri halal yang sedang berkembang pesat.

“Sebuah syarikat dari sana bersetuju untuk membuat pelaburan sebanyak RM300 juta di Negeri Sembilan dalam bidang halal. 

“Pelaburan halal di Negeri Sembilan tinggi dan sebab itu kita tidak mempunyai kawasan perindustrian baharu, fasa tiga yang dibuka di Halal Park di Enstek juga telah habis dijual,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan EXCO di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menzahirkan rasa tidak berpuas hati dengan tahap guna pakai 14 Taman Perindustrian Halal Malaysia di seluruh negara yang hanya merekodkan sekadar 11 peratus sejak 2009.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, jumlah itu terlalu rendah berbanding 5,665.6 hektar yang diperuntukkan bagi tujuan berkenaan.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) juga antara syarikat yang akan mengukuhkan kedudukannya di negeri ini apabila membuat pelaburan RM1 bilion bagi projek ladang tenusu bersepadu di Gemas.

Beliau berkata, kerajaan negeri sedang memberikan tumpuan untuk membantu membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera termasuk dalam industri halal.

“Kita hendak mereka (usahawan PKS) walaupun mengusahakannya di rumah, supaya membesarkan lagi perniagaan.

“Alhamdulillah, kita sudah ada beberapa syarikat PKS yang mempunyai status halal dan berpotensi untuk terus berkembang maju. Kerajaan negeri akan terus membantu daripada segala aepek untuk mereka berkembang termasuk di peringkat antarabangsa,” katanya.-BH Online