Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi dengan salahlaku guru dan sedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan mengenai seorang murid sebuah sekolah yang dilaporkan mengalami strok haba.
Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata beliau akan memastikan kebajikan murid tahun lima di sebuah sekolah rendah di Ampang, Selangor itu terbela.
“Dia (pelajar) memang sudah pun berada di bawah kebajikan kita (KPM). Maknanya anak murid ini adalah murid KPM yang kita akan beri perhatian dan memastikan bahawa kebajikan dia terjaga,” katanya kepada media selepas Majlis Digital Utilisation and Technology Awards (DUTA 2023) di Pusat Sains Negara, di sini, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan murid tahun lima di sebuah sekolah rendah di Ampang, Selangor terpaksa dikejarkan ke hospital selepas didakwa didenda berjemur di padang sekolah oleh gurunya.
null
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan polis yang dibuat ibu mangsa berhubung kejadian itu pada 30 April lalu.
Pelajar itu dilaporkan akan dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) selepas doktor hospital berkenaan memaklumkan kepada ibu bapa pelajar itu bahawa anak mereka tidak dapat kembali ke sekolah berikutan keadaan saraf’ dialami akibat serangan haba.
Jurucakap mewakili keluarga itu, S Dayalan, berkata ibu bapa pelajar berkenaan perlu mengisi borang disediakan pihak hospital untuk anak mereka disahkan sebagai OKU.
Ibu pelajar itu, AD Mogahana Selvi, 34, berkata mata anaknya kemerahan apabila pulang ke rumah dan memberitahu ibunya dia tidak sihat.
Mogahana kemudian segera membawa anaknya ke hospital di mana kanak-kanak itu pengsan di Jabatan Kecemasan.
Mogahana mendakwa anaknya didenda selepas mengadu kepada guru, seorang rakan sekelas membaling botol ke arahnya.
Mohd Azam berkata, pihaknya sudah melengkapkan siasatan membabitkan kanak-kanak berusia 11 tahun itu, yang turut didenda bersama tiga pelajar lain oleh guru mereka.-BH Online