Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Selangor bertekad mengarusperdanakan pengajian turath atau kitab warisan sebagai antara bidang pengembangan dan penyebaran ilmu Islam di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata Festival Turath Islami 2024 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ketika ini, adalah pengisytiharan, pemakluman atau pemasyhuran kepada lebih banyak kegiatan penyebaran ilmu, pendalaman pengetahuan serta pengukuhan jaringan.

“Bermula tahun lalu, saya menghantar beberapa wakil atau duta yang mewakili kegiatan pembentukan jaringan dan pencarian maklumat.


“Kita menghulurkan tangan perkenalan dan persaudaraan kepada ulama tua, senior atau sesepuh dan juga ulama-ulama muda,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Perasmian Seminar Penghayatan Riyadus Salihin Iman Al-Nawawi di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hadir sama bekas Imam Besar Mesir, Prof Dr Ali Jum’ah dan Pengarah Pusat Kajian Islam Quantum Akhyar Institute, Dr Adi Hidayat.

Pada majlis sama, turut dilancarkan naskhah terjemahan kitab Ihya’ Ulumuddin dan Arba’in an-Nawawiah yang disokong kerajaan negeri.

Amiruddin berkata, kerajaan negeri turut menyusun silibus dan rancangan pengajian secara talaqqi di masjid, yang mana pengajian akan dilaksana pada peringkat permulaan di sembilan daerah di Selangor.

“Kita juga membentuk Akademi Turath di bawah kendalian Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah,” katanya. 

Beliau berkata, usaha menghidupkan pengajian kitab-kitab muktabar atau turath di Selangor harus mencerminkan disiplin serta kecekalan Al-Azhar di Mesir serta ulamanya dan cita-cita Nizamul Muluk yang mahukan umat Islam canggih.

“Kitab-kitab muktabar ini bukan sahaja mutiara bait-bait penjelasan ulama, tetapi juga kehebatan kaedah berfikir mereka atau apa yang disebut sekarang sebagai ‘train of thoughts’.

“Dalam rangka kembali kepada turath ini, tidak keterlaluan kalau kita meninjau sejarah Nusantara yang kaya dengan kecanggihan dalam soal pemerintahan, penataan masyarakat, pendidikan minda, asuhan jiwa dan banyak lagi sisi kehidupan,” katanya.

Beliau berkata, Selangor berhasrat menjadi antara peneraju paling ke hadapan dalam usaha menggembleng kekuatan tradisional dalam dunia keilmuan dan juga penghayatan Islam di Nusantara.-BH Online