Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Pelaburan terbaharu Google sebanyak RM9.4 bilion untuk pusat data dan wilayah awan pertamanya akan memajukan cita-cita digital yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) Malaysia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata penubuhan pusat data Google dan wilayah Google Cloud di Greater Kuala Lumpur akan memperkasakan industri pembuatan dan berasaskan perkhidmatan negara untuk memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi termaju lain bagi meningkatkan rantaian nilai global.

“Kami juga menyambut baik rancangan Google untuk membantu membangunkan ekosistem bakat yang kukuh dengan memudahkan pertumbuhan kemahiran digital, perniagaan dan kerjaya pekerja di Malaysia. Selain menarik pelaburan seterusnya, ia akan merangsang inovasi dan memacu pertumbuhan untuk organisasi dari semua saiz.

“Kami yakin perkongsian dan pelaburan berterusan Google akan mempercepatkan transformasi digital Malaysia, menyumbang kepada visi MADANI ke arah Malaysia yang lebih makmur, berteknologi maju,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata komitmen padu Malaysia terhadap infrastruktur digital yang mantap telah meyakinkan banyak syarikat multinasional untuk datang ke Malaysia, menghasilkan RM144.7 bilion pelaburan digital diluluskan dari tahun 2021 hingga 2023.

“MITI secara aktif memupuk ekosistem digital yang akan memacu penyelesaian berasaskan teknologi merentas pelbagai sektor, ia juga akan mengukuhkan cadangan nilai kami bahawa Malaysia adalah tempat permulaan global, tempat untuk syarikat mengukuhkan kejayaan operasi serantau dan global mereka,” katanya.

Komitmen baharu Google itu dijangka menyokong 26,500 pekerjaan merentasi pelbagai sektor di Malaysia, menghasilkankesan ekonomi yang besar dianggarkan sebanyak RM15.04 bilion.

“Wilayah awan Malaysia akan menyertai 40 wilayah dan 121 zon yang kini beroperasi di seluruh dunia untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk perkhidmatan teknologi awan di peringkat tempatan dan global serta program literasi kecerdasan buatan (Al) untuk pelajar dan pendidik di Malaysia.

“Komitmen terbaharu oleh sebuah lagi gergasi teknologi global kepada Malaysia merupakan satu pencapaian penting dalam visi Kerajaan MADANI untuk menarik lebih ramai pelabur digital ke negara ini untuk membantu membina ekonomi didayakan secara digital yang kukuh dan selamat,” kata MITI.

Dalam pada itu, peningkatan kapasiti dan kebolehpercayaan terhadap perkhidmatan awan akan menyokong pelbagai sektor termasuk penjagaan kesihatan, pendidikan dan kewangan bagi memupuk dunia untuk meningkatkan kesalinghubungan dan berdaya tahan.

Pengumuman itu dibuat selepas beberapa siri libat urus antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Alphabet (syarikat induk Google) serta Presiden, Ketua Pegawai Pelaburan dan Ketua Pegawai Kewangan Google, Ruth Porat.

Memorandum persefahaman turut ditandatangani antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dengan Google pada 14 November 2023.

Sementara itu, Porat berkata pelaburan ini dibina atas kerjasamanya dengan kerajaan Malaysia untuk memajukan ‘Dasar Cloud First,’ merangkumi piawaian keselamatan siber terbaik dalam kelasnya.

“Dengan pengumuman ini, Malaysia dan Google bekerjasama untuk memajukan perkongsian kerja untuk mencipta ekosistem yang menyokong inovasi dan membuka potensi transformasi digital.

“Seiring dengan Rangka Kerja Ekonomi MADANI yang menggalakkan inovasi dan keterangkuman untuk membantu melonjakkan Malaysia ke dalam 30 teratas ekonomi global menjelang tahun 2033, teknologi transformatif seperti pembelajaran mesin, pemprosesan bahasa semula jadi dan analitik ramalan yang dikuasakan oleh perkhidmatan awan dan AI oleh global gergasi teknologi mempunyai potensi untuk memperkasakan perniagaan dari semua saiz,” katanya.

Ia termasuk syarikat baharu dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS), potensinya boleh dihasilkan oleh teknologi untuk memacu pembezaan dan daya saing pasaran, kata Porat.

Pusat data Google akan memperkasakan perkhidmatan digital Google yang popular seperti Search, Maps dan Workspace, ia turut memainkan peranan penting dalam membolehkan Google menyampaikan manfaat Al kepada pengguna di seluruh negara.

Apabila beroperasi, Malaysia akan menyertai 11 negara di mana Google telah membina dan kini mengendalikan pusat data untuk memberi perkhidmatan kepada pengguna di seluruh dunia.

Sementara itu, wilayah Google Cloud akan menyampaikan perkhidmatan berprestasi tinggi dan kependaman rendah kepada perusahaan besar, syarikat pemula dan organisasi sektor awam, membolehkan akses mereka kepada perkhidmatan seperti penyimpanan data dan keperluan penyimpanan data khusus, dibina berdasarkan piawaian keselamatan dan pematuhan undang-undang . – Bernama