Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat mengucapkan selamat jalan kepada 282 jemaah haji yang berlepas ke Tanah Suci dari Pusat Konvensyen Hotel Movenpick di sini hari ini.

Seri Paduka tiba di pusat berkenaan pada jam 9.45 pagi sambil diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Turut berangkat sama anakanda baginda, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah. Yang turut hadir Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mesaad Ibrahim Al-Sulaim dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussain.

Pada majlis itu, Sultan Ibrahim mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji kumpulan penerbangan ke-55 (KT055) yang dijadual berangkat ke Tanah Suci menaiki pesawat AMAL Malaysia Airlines MH8122 pada jam 1.30 tengah hari ini dan dijangka tiba pada jam 5.25 petang (waktu Arab Saudi). 

Bagi memberkati perjalanan para jemaah haji, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Jamali Mohd Adnan, membacakan doa memohon keselamatan dan dipermudahkan segala urusan ibadah mereka

Mohd Na’im dalam ucapannya di majlis itu, mengingatkan jemaah haji supaya menumpukan perhatian kepada amal ibadat sepanjang berada di Tanah Suci dan berhubung dengan petugas TH sekiranya berdepan sebarang masalah.

Katanya, jemaah juga dinasihatkan sentiasa menjaga kesihatan dan memakai gelang serta kad pengenalan diri yang dibekalkan TH supaya mudah dikenal pasti sekiranya berlaku kecemasan. 

Sejumlah 31,600 jemaah haji Malaysia akan menunaikan ibadah haji pada tahun ini dan 16,000 jemaah sudah tiba di Madinah dan Makkah secara berperingkat sejak 9 Mei lalu dan akan berakhir pada 9 Jun ini. 

Terdahulu pada majlis sama, Mohd Na’im menyerahkan insentif kepada bakal haji dari keluarga B40 di Wilayah Persekutuan bagi musim haji 2024/1445H.

Insentif berjumlah RM144,500 itu hasil sumbangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk diagihkan kepada 289 bakal haji.

Pemberian insentif berjumlah RM500 kepada setiap jemaah itu diberikan melalui wang sumber am berjumlah RM144,500 sebagai tanda keprihatinan MAIWP kepada kebajikan golongan B40.-BH Online