Kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu malam ini memberi isyarat jelas untuk Kerajaan Perpaduan terus bekerja kuat menarik pelabur, seterusnya memulih dan memperkukuh ekonomi negara.
Menerusi hantaran di laman Facebook, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Kerajaan Perpaduan akan terus menggalas amanah dan tanggungjawab itu dengan baik demi rakyat terbanyak.
“Pada Majlis Malam Sambutan 25 Tahun PKR di Sentul malam ini, saya mulakan ucapan dengan mengucapkan tahniah kepada calon PH yang berjaya mempertahan kerusi DUN Kuala Kubu Bharu.null
“Tahniah dan terima kasih juga kepada seluruh jentera Kerajaan Perpaduan yang mempamerkan kesepakatan dan semangat luar biasa bagi mempertahan kemenangan,” katanya.
Pada PRK itu, calon PH Pang Sock Tao menang dengan majoriti 3,869 undi menewaskan tiga pencabarnya iaitu Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
Anwar turut mengingatkan semua ahli PKR terutama generasi muda untuk menghayati idealisme dan tidak terpukau dengan godaan memunggah kekayaan.
Beliau berkata, bakat pemimpin muda perlu digilap dan bersedia untuk meneruskan perjuangan KEADILAN mempasak perubahan.– BERNAMA