Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kabinet bersetuju memperkenalkan hala tuju dan model pelaksanaan baharu Satu Daerah Satu Industri (SDSI) menerusi pelaksanaan Sejati Komuniti Madani dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata ia selaras dengan usaha kerajaan untuk memperkenalkan produk baharu SDSI, seterusnya meluaskan pasaran sehingga ke peringkat antarabangsa.null

“Saya telah membentangkan kepada Jemaah Menteri satu kertas untuk kita memperkenalkan hala tuju dan model pelaksanaan baharu SDSI pada mesyuarat Kabinet beberapa hari lalu.

“Kabinet bersetuju dengan hala tuju berkenaan. Selepas ia dilaksanakan sejak sekian lama, kita perlu tampil dengan satu model baharu dan antaranya adalah memperhebatkan lagi kerjasama di antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan bersama agensi dalam mengenal pasti industri.

“Kita hanya akan bangunkan satu-satu produk atau industri yang kita rasa boleh dibawa ke pasaran peringkat antarabangsa.

“Seterusnya kita juga menggalakkan penubuhan koperasi bagi usahawan kampung atau daerah yang mengusahakan industri desa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival TEKUN Madani dan Showcase SDSI, di Dewan Masyarakat Datuk Shahbandar Makang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Seri Suriani Ahmad; Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu, Datuk Limus Jury dan Pengerusi TEKUN Nasional, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.

Dalam pada itu, Ewon berkata, ia adalah penambahbaikan dan hala tuju baharu bukan hanya dengan pelaksanaan SDSI tetapi akan menjadi sebahagian daripada pelaksana Sejati Madani Komuniti yang mana dalam belanjawan tahun ini diperuntukkan sebanyak RM1 bilion.

“Bukan sepenuhnya kita menggunakan model SDSI dalam pelaksanaan Sejati Komuniti Madani tetapi kita akan bekerjasama dengan ICU Jabatan Perdana Menteri dalam mengangkat produk di beberapa pelaksanaan Sejati Komuniti yang akan diperkenalkan tahun ini,” katanya.

Terdahulu, ketika berucap, Ewon berkata, SDSI adalah inisiatif kerajaan dalam membantu ekonomi luar bandar, selari dengan dasar pembangunan luar bandar secara bersepadu.

Katanya, kerajaan telah mengorak langkah untuk menggalakkan penduduk desa menghasilkan sumber ekonomi sendiri dari desa yang mampu menembus pasaran yang lebih besar.

“Showcase SDSI ini adalah usaha kerajaan untuk memperkenalkan produk desa kecil ke peringkat nasional. 

“Semasa Showcase SDSI di Melaka, usahawan SDSI Labu Sayong dari Perak berjaya mencapai peningkatan jualan sebanyak 36 peratus. Ini membuktikan keberkesanan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan negeri untuk membangunkan produk usahawan desa.

“Tahun ini, KUSKOP mengenal pasti industri Ikan Liking di Kota Belud, sebagai satu industri yang berpotensi untuk dimajukan.

“Usahawan desa yang dipilih diberi bantuan peningkatan kualiti produk melalui penjenamaan dan pembungkusan, pensijilan, pemasaran, pengiklanan serta bimbingan teknikal,” katanya.-BH Online