Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan MADANI tidak pernah meminggirkan kaum India malah pelbagai inisiatif sudah dilaksanakan bagi memperkasa komuniti berkenaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, kerajaan mengambil pendekatan untuk membantu setiap segmen masyarakat tanpa mengetepikan mana-mana golongan.

“Kita ambil pendekatan untuk membantu (Bumiputera) tetapi ini tidak bermakna zero-sum game, tolong Melayu maknanya kita pinggirkan (golongan lain), tidak.null

“…sebab itu saya tegaskan dengan masyarakat India janganlah marah atau cemburu mengenai program Bumiputera. Tanya apa yang perlu kita lakukan, kewarganegaraan orang yang berhak, yang ketinggalan… 50, 60 tahun dulu lahir di Malaysia tak dapat (kewarganegaraan). Itu kita selesaikan dan ini kali pertama yang selesai begitu banyak oleh Kementerian Dalam Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program ‘Soal Jawab Perdana Menteri’ bersama empat stesen televisyen tempatan malam tadi.

Anwar berkata, antara bantuan khusus buat kaum itu adalah menerusi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) dengan peruntukan RM100 juta bagi program pembangunan sosio-ekonomi masyarakat India manakala sejumlah RM30 juta diperuntukkan di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dalam Belanjawan 2024. 

Difahamkan, peruntukan menerusi MITRA itu antaranya merangkumi program pendidikan termasuk latihan kemahiran dan bantuan kewangan bagi menampung yuran pengajian di institut pengajian tinggi kepada keluarga B40 India; di samping program pembangunan keusahawanan dan kerjaya masyarakat India termasuk dalam bidang pertanian dan ekonomi gig. 

Ia juga termasuk program pembangunan sosial dan kebajikan, kerohanian dan kesejahteraan masyarakat India, juga dalam aspek kebudayaan, bahasa, kerohanian dan kesukanan, terutama kepada kelompok masyarakat B40.

Peruntukan RM30 juta di bawah TEKUN itu adalah bagi menyediakan Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI), untuk menyediakan kemudahan pembiayaan mikro secara cepat dan mudah kepada usahawan dalam kalangan kaum India.

Selain itu, Anwar berkata, inisiatif lain termasuk peruntukan dana khas RM50 juta melalui Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bagi memperkasakan usahawan wanita India, di samping agensi berkaitan kerajaan iaitu Petronas juga menyediakan biasiswa untuk kaum India, dan syarikat itu turut menggajikan hampir 1,000 petugas dari kalangan kaum India, namun perkara itu tidak diuar-uarkan. 

Katanya, dalam pelaksanaan sistem meritokrasi, isu yang paling utama adalah kesamarataan, peluang kesaksamaan dan keadilan. 

Sementara itu, Anwar menepis dakwaan kerajaan tidak membantu kaum India selain menyifatkan terdapat sesetengah pihak berkepentingan dan kaya cuba menghasut untuk mempengaruhi masyarakat India.

“Jangan katakan belum dapat apa-apa, saya nak tekankan ketimbang tahun-tahun yang lalu. Ini yang paling banyak kita berikan kepada Bumiputera, dan ini juga yang paling banyak kita berikan kepada masyarakat India. 

“..ataupun melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) untuk Sabah dan Sarawak dan untuk perhatian kepada masyarakat Cina melalui perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berjumlah puluhan bilion ringgit,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan turut memberikan peruntukan kepada semua jenis sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan Cina bagi tujuan penyelenggaraan.

“Janganlah dengar pada satu, dua orang yang menghasut (pemberian kerajaan) RM50 juta untuk sekolah Cina. Padahal semasa Perikatan Nasional (PN) pun bagi, semasa Barisan Nasional (BN) pun bagi … tak ada masalah yang kita beri pada sekolah kebangsaan itu berbilion ringgit – ini sikap yang saya kata secara halus menghasut dan membenci,” katanya. 

Temu bual khas hampir sejam bersama Perdana Menteri Malaysia Ke-10 itu dikendalikan penyampai RTM, Sayed Munawar Sayed Mustar, Pasha Abdul Rahim (Bernama TV), Muhammad Zulfitri Yusof (Astro Awani) dan Azaria Tagaya (TV3). – BERNAMA