Malaysia akan menggunakan hubungan baik dengan semua negara untuk bersama-sama membantu menghentikan penindasan rejim Israel terhadap penduduk di Gaza, Palestin, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bercakap dalam program “Soal Jawab Perdana Menteri” bersama empat stesen televisyen tempatan malam tadi, Perdana Menteri berkata, strategi membabitkan pelbagai negara harus dirangka dalam isu berkenaan kerana penindasan di Gaza bukan lagi isu yang hanya membabitkan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), negara Arab dan Islam.
“Saya tak fikir ini isu negara Islam atau negara Arab. Kenyataan positif China, Russia lebih-lebih lagi Kesatuan Afrika, Brazil, Sepanyol dan Ireland (dalam isu Palestin), saya usulkan kita harus rangka strategi yang membabitkan negara ini.
“Walau keadaan itu agak berat, kita dapatkan dukungan secara menyeluruh. Kita sampaikan kepada Presiden Brazil (Lula da Silva) dan Perdana Menteri Sepanyol (Pedro Sanchez) bahawa kita mendukung dan menghormati sikap mereka (yang menyokong Palestin) kerana ini (penindasan di Gaza) adalah masalah kemanusiaan,” katanya.
Temu bual khas hampir sejam bersama Perdana Menteri Malaysia Ke-10 itu dikendalikan penyampai RTM Sayed Munawar Sayed Mustar, Pasha Abdul Rahim (Bernama TV), Muhammad Zulfitri Yusof (Astro Awani) dan Azaria Tagaya (TV3).
Anwar yang jelas tidak dapat menyembunyikan rasa sebak bila menyentuh isu Palestin berkata, dalam pertemuan dengan beberapa pemimpin di luar Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di Riyadh, Arab Saudi baru-baru ini, beliau turut mengulangi pendirian supaya penindasan penduduk Gaza oleh Israel dihentikan.
Semasa di Riyadh, selain bertemu Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed bin Salman, Anwar juga sempat bertemu Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shia’ Al Sudani dan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al Thani.
“Secara umumnya semua sependapat bahawa kezaliman dihentikan, tapi seolah-olah tiada keupayaan untuk melakukan kerana kekuatan Israel yang didukung oleh Amerika Syarikat (AS) dan sebahagian besar negara Eropah.
“Sebelum saya pulang nampak seolah-olah ada kebimbangan serius Israel akan dibenarkan melanggar dan menakluk Rafah dan Gaza, jika ini berlaku satu malapetaka jauh lebih besar daripada yang kita bayangkan akan berlaku,” katanya.
Anwar berkata, ketegasan Malaysia dalam mendesak Israel menghentikan keganasan ke atas penduduk Gaza bukan untuk menunjukkan kekuatan negara ini, sebaliknya ia dilakukan atas dasar kemanusiaan.
“Kita faham, kita dari Malaysia negara sederhana, bukan besar. Saya tiada pilihan untuk berdepan dengan Presiden AS, Joe Biden, Perdana Menteri Australia, Anthony Norman Albanese dan Canselor Jerman, Olaf Scholz, berikan hujah di pemikiran saya kerana itu yang mampu saya lakukan,” katanya. — BERNAMA