Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat meluangkan masa mengadakan perbincangan bersama Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Kumpulan Bank Pembangunan Islam (IsDB) di Riyadh, Arab Saudi, hari ini.
Menerusi hantaran di laman Facebook beliau, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kedua-dua mereka berkongsi pandangan berkaitan isu serantau antara lainnya menyentuh mengenai pembaharuan fiskal kerajaan dan agenda memajukan kewangan Islam selaras dengan cabaran semasa termasuk keperluan membiayai peralihan tenaga, keterjaminan makanan dan menangani kemiskinan.
“Turut dibincangkan adalah bidang kerjasama ekonomi untuk diperkukuhkan di peringkat ASEAN mengambil kira peranan Malaysia yang akan mempengerusikan ASEAN tahun depan.
“Beliau turut maklumkan akan hadir ke Malaysia bulan depan bagi menghadiri Global Forum on Islamic Economics Finance (GFIEF) yang akan berlangsung pada 28 hingga 29 Mei 2024 di Kuala Lumpur,” kata Perdana Menteri.
Terdahulu hari ini, media melaporkan SC menandatangani MoU dengan IsDB, yang membuka ruang kerjasama lebih erat dalam pasaran modal Islam dan meluaskan jangkauan teknologi kewangan dan kewangan sosial Islam, terutamanya wakaf.
Anwar dan Presiden merangkap Pengerusi IsDB, Dr Muhammad Al Jasser, menyaksikan majlis menandatangani MoU tersebut, yang merupakan pertama seumpamanya antara pengawal selia pasaran modal Malaysia dan bank pembangunan Islam. – BERNAMA