Pembangunan infrastruktur di sempadan, khususnya Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) menjadi keutamaan kerajaan susulan pembangunan ibu baharu Indonesia di Nusantara, Kalimantan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata penyediaan infrastruktur yang lebih baik perlu bagi memudahkan perhubungan antara dua wilayah.
Justeru katanya, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM1 bilion setiap tahun bagi memastikan infrastruktur di semua ICQS lengkap dan sempurna.
“Pembangunan infrastruktur itu akan meningkatkan mobiliti antara Sarawak, Sabah serta semua wilayah di Kalimantan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ramah Tamah Zon 4 Satok serta Perasmian Perpustakaan Desa diDewan Haji Kamarudin, Kampung Segedup, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki.
Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, ketika ini Sarawak sudah mendapat faedah khususnya dalam sektor pelancongan perubatan apabila ramai rakyat Indonesia dari Kalimantan Barat memilih untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta.
Justeru katanya, kesan lebih besar diyakini diterima dengan pembangunan ibu kota Nusantara.
“Sekarang kira-kira 500,000 rakyat dari Kalimantan berkunjung ke Sarawak dengan ramai yang mendapatkan rawatan.
“Dengan peningkatan hubungan antara wilayah, kita boleh mengembangkan perkhidmatan bukan sahaja berkaitan kesihatan tetapi juga dalam bidang pendidikan.
“Sarawak ada universiti yang boleh sudah pasti menarik minat mereka untuk datang ke sini melanjutkan pelajaran,” katanya.
Menurutnya lagi, dalam pembangunan kemudahan utiliti tenaga di Kalimantan, Sarawak sudah terbabit sepenuhnya apabila turut membangunkan empangan janakuasa hidro elektrik di wilayah berkenaan.-BH Online