Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) semalam, diberikan afiyah secepat mungkin.
“Semoga Tun Abdullah diberikan afiyah sesegera mungkin, dikurniakan kekuatan dan dipermudahkan segala urusan. Insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebooknya, hari ini.
Abdullah, 85, yang juga Perdana Menteri kelima dari 2003 hingga 2009 dimasukkan ke IJN pada jam 3 petang semalam.
Pejabat Urus Setia bekas Perdana Menteri itu memaklumkan, pakar perubatan mendapati beliau mengalami Small Spontaneous Pneumothorax dan menasihatinya berehat secukupnya dengan pemantauan doktor pakar.
Sementara itu, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang juga menantu kepada Abdullah mengesahkan bapa mentuanya berada dalam keadaan stabil di Unit Rawatan Koronari (CCU) IJN untuk pemantauan doktor.
Khairy yang mewakili ahli keluarga menzahirkan penghargaan kepada doa dan kata-kata semangat buat Abdullah berkata, bapa mentuanya memerlukan rehat secukupnya dan dinasihatkan tidak menerima pelawat buat masa ini.– BERNAMA