Sorting by

×

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapat petunjuk baharu mengenai keberadaan Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan yang juga menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ia dikesan menerusi transaksi kad kredit milik ahli perniagaan itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata selain itu pihaknya turut mendapatkan kerjasama daripada Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengesan Muhammad Adlan.

“Ada petunjuk baharu beliau berada di suatu tempat hasil daripada pemantuan kita terhadap penggunaan kad kreditnya. Beliau berada di beberapa buah negara, kita sudah memohon kepada pihak Interpol untuk mengesan.

“Tetapi dalam kes beliau, kita masih lagi mengesan dengan cara kita bagi tujuan untuk dituduh di mahkamah.

“Sehingga sekarang tidak ada lagi makluman daripada beliau dan juga seorang peguam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pejabat SPRM Cawangan Gua Musang di Dewan Datuk Ariffin Said Ibu Pejabat KESEDAR, Gua Musang di sini, hari ini.

Sehubungan itu beliau menggesa Muhammad Adlan dan pegumnya untuk tampil dan menghadapi pertuduhan yang akan dikenakan terhadap mereka

Terdahulu media melaporkan SPRM mengesahkan beberapa kertas pertuduhan membabitkan beberapa dakwaan, termasuk jenayah pecah amanah (CBT) ke atas Muhammad Adlan sudah lengkap.-BH Online