‘Tidak lebih hanya bermain persepsi’. Demikian tegas Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berhubung dakwaan keretakan hubungan Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) dilontarkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Asyraf Wajdi malah menolak dakwaan Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu dan menegaskan semua parti gabungan memainkan peranan proaktif dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.
“Tidak ada keretakan apa-apa. Sebelum ni pun dia (Sanusi) kata parti MIC tak ada bekerjasama, …hari ini MIC akan melancarkan bilik gerakan di Kuala Kubu Baharu.
“Politik ni biasalah, bermain persepsi. Sanusi dia mesti ada isu yang dia mainkan sensasi baru dia boleh ‘hidup’.
“Setakat ini Alhamdulillah semua (termasuk) MCA datang dalam mesyuarat penyelarasan semua pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan dan saya tidak melihat sebarang keretakan hubungan,” katanya selepas Majlis Perasmian Locca Cafe Dataran Pahlawan hari ini.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, perbezaan pandangan parti dalam BN dan PH adalah perkara biasa malah berjaya ditangani dengan baik melalui perbincangan secara dalaman.
“BN dulu ketika kita ada 14 parti komponen pun kita ada perbezaan pandangan tapi yang bagusnya dalam konteks Kerajaan Perpaduan ditangani secara bijaksana dan bersemuka di dalam mesyuarat.
“Jadi perbezaan pandangan itu biasa, bak kata (Tan Sri) P Ramlee ‘sedangkan lidah lagi tergigit, suami isteri pun boleh bergaduh apa lagi yang tidur sebantal mimpi lain-lain,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, MCA dan MIC memutuskan tidak terbabit dalam sebarang aktiviti kempen PRK DUN Kuala Kubu Baharu sekiranya calon dikemukakan bukan daripada Barisan Nasional (BN).-BH Online