Sejumlah 28,808 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di 48 kem seluruh negara kini diselenggara menerusi peruntukan RM400 juta yang disalurkan kerajaan tahun ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata peruntukkan diumumkan kerajaan untuk menyelenggara rumah anggota tentera itu akan direalisasikan dengan segera, bukan sekadar di atas kertas.
Menurut beliau, kerajaan bukan sahaja melihat soal kesiapsiagaan pasukan tentera, tetapi turut memberi penekanan juga kepada soal kebajikan anggota tentera.
“Salah satu daripada aspek kebajikan anggota tentera ialah soal perumahannya.
“Pada tahun ini semua rumah yang didiami anggota akan dibaiki di seluruh negara, jadi tiada lagi mereka (anggota) terganggu (apabila bertugas) seperti bumbung atau bocor, mereka terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri.
“Jadi sekarang ini kerajaan ambil alih dan pastikan ia tidak berlaku serta kita dapat meningkatkan keselesaan anggota,” katanya pada sidang media selepas melawat rumah RKAT di Taman Seruling di sini, hari ini.
Beliau meninjau keadaan bangunan rumah didiami warga ATM yang bertugas di Kem Erskine, Kuala Kubu Bharu dan tinggal di RKAT Taman Seruling yang mengalami kerosakan.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Dr Mohd Bakhari Ismail; Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Huzaimi Sabri dan Panglima 4 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Reizal Arif Ismail.
Tambahnya, beliau akan memantau kerja selenggara dan proses baik pulih rumah RKAT dengan mengadakan lawatan di semua kem ATM di seluruh negara bagi memastikan proses itu dilaksanakan seperti dirancang.
“Saya mahu melihat perancangan (baik pulih dan selenggara) memang dibelanjakan serta mendapatkan maklumat tempoh kerja (penyelenggaraan) itu dilaksanakan.
“Ini menunjukkan kerajaan komited soal kebajikan anggota kerana kita menghargai pengorbanan dan sumbangan mereka yang menjaga keselamatan serta kedaulatan negara,” katanya.
Mengenai RKAT di Taman Seruling, Mohamed Khaled berkata sebanyak 245 unit rumah di situ akan diselenggara dan baik pulih membabitkan peruntukan RM596,283.
“Keseluruhan, selenggaraan RKAT Taman Seruling membabitkan 245 unit dengan pecahan 11 unit rumah pegawai, 28 unit rumah Pegawai Tidak Tauliah Kanan (PTTK) dan 206 unit rumah Pegawai Tidak Tauliah Rendah (PTTR).
“Bagaimanapun, hanya 73 rumah dalam keadaan baik untuk didiami, 60 rosak tetapi masih didiami, 59 rosak tidak sesuai didiami dan 53 buah lagi telah lulus untuk dirobohkan,” katanya.
Menurut beliau, proses selenggara dan baik pulih di RKAT Taman Seruling dijangka memakan masa kira-kira dua bulan.-BH Online