Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Kesihatan (KKM) kini di peringkat akhir penelitian mengenai cadangan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata cadangan itu bagaimanapun akan dirujuk kepada Jemaah Menteri kerana ia antara terkandung dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH).

“Saya berharap dalam waktu terdekat, kita akan dapat umum perkara ini dan saya semestinya kena rujuk kepada Kabinet sekiranya perkara itu dapat dimuatkan dalam nota atau memorandum Jemaah Menteri.

“Tapi perkara ini saya pasti akan bawa (kerana ia) antara perkara kita sebut dalam manifesto (pilihan raya)… bagaimana dan apa butirannya, belum dapat (maklumkan) lagi,” katanya.null

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Laporan Tahunan Clinical Research Malaysia (CRM) 2023 di sini, hari ini.

Gerakan Hartal Doktor Kontrak (HDK) sebelum ini menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan dan Suruhanjaya Reformasi Kesihatan pada kadar segera.

Jurucakap HDK, Dr Muhammad Yassin dilaporkan berkata, penubuhan kedua-dua suruhanjaya berkenaan penting bukan kerana ia sebahagian daripada manifesto PH, malah dianggap platform terbaik untuk memperkasa kebajikan dan jaminan kerjaya untuk staf kesihatan kontrak di Malaysia.

Dzulkefly berkata, penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan adalah antara manifesto yang diangkat untuk mereformasikan sektor kesihatan.

“Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan diangkat sebagai salah satu ‘reform’ yang mahu kita lakukan dalam manifesto pilihan raya umum (ke-15).

“Semua sedia maklum, untuk (peringkat) seterusnya kita di penghujung penelitian ini,” katanya.-BH Online