Hubungan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan kini sangat kukuh dan mantap, biarpun wujud cubaan berterusan oleh pelbagai pihak untuk cuba merobohkannya, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, Jemaah Menteri dipimpinnya juga sentiasa terbuka dalam membincangkan pelbagai isu dalaman, dengan ada isu diakui turut menyentuh kepentingan rakan dalam parti Kerajaan Perpaduan sendiri.
“Yang di luar (Kabinet) suara-suara yang tidak semestinya mewakili suara kepimpinan, saya harus akui ada sedikit sebanyak hal yang dirungkai di luar Jemaah Menteri, tetapi setakat ini belum ada petanda keretakan kecil sekalipun, antara PH (Pakatan Harapan), UMNO-BN (Barisan Nasional), Sabah dan Sarawak.
“Yang ada hanya gerombolan-gerombolan ‘desperados’ yang cuba adu domba dan saya beri tahu mereka ‘good luck and goodbye, it will not works’.”
“Bagi saya kerajaan ketika ini masih mantap dan kukuh,” katanya ketika menyampaikan Amanat Presiden di hadapan lebih 5,000 ahli dan pemimpin akar umbi PKR pada Konvensyen 25 Tahun PKR di Pusat Konvensyen Shah Alam (IDCC) di sini, hari ini.
Perdana Menteri berkata demikian menjawab serangan serta kritikan sesetengah pihak, berhubung beberapa isu berbangkit termasuk afidavit Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bagi menyokong permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Anwar berkata Kerajaan Perpaduan juga dituduh tidak melakukan sebarang perubahan atau reformasi apabila mentadbir negara, namun Perdana Menteri menegaskan kerajaan amat komited melaksanakan perubahan dan ia dilakukan mengikut kemampuan serta kebijaksanaan.
Beliau berkata dalam tempoh setahun Kerajaan Perpaduan mentadbir, kerajaan tidak berkompromi dalam soal kebebasan badan kehakiman negara dan kekuatan badan penguat kuasa untuk bertindak dengan tegas tanpa ada campur tangan politik.
“Sekarang ini, badan kehakiman kita dikenali sebagai badan yang bebas… belum ada satu kes (mahkamah) di mana saya panggil ketua hakim (Tun Tengku Maimun Tuan Mat) atau berunding (campur tangan) untuk menyelesaikannya.
“Kebijaksanaan kita (diperlukan) untuk mengekalkan dan bukannya untuk merobohkan kerajaan yang ada… perubahan kita akan lakukan tapi kepesatan dan kelajuan mengikut kemampuan serta kebijaksanaan, jangan kerana nak meneruskan agenda yang disenangi (oleh sesetengah pihak) hingga merobohkan kerajaan ini,” katanya.
Anwar berkata ada pihak yang menuduh kononnya Kerajaan Pepaduan hanya berdiam diri sehingga rakyat ‘menderita’, sebaliknya beliau berkata golongan yang ‘menderita’ hanya individu berpangkat yang menyakau duit rakyat.
Beliau berkata satu langkah atau gagasan terbaik untuk dilakukan ialah menghentikan amalan menggunakan kuasa, merompak dan menyakau harta negara ini.
Di samping itu Perdana Menteri berkata, pimpinan Kerajaan Perpaduan juga sudah mencapai kesepakatan untuk tidak melanggar prinsip tatakelola serta terjerumus dalam sebarang kancah rasuah.
Datuk (Seri Dr Ahmad) Zahid (Hamidi); Abang Jo (Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg) atau Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, semuanya faham.
“.. dan setuju andai kata ada dikalangan kita yang melanggar prinsip tatakelola dan terjerumus dengan rasuah, mereka akan terkeluar dan menghadapi proses perundangan,” katanya.
Anwar juga akui, kerajaan dipimpinnya juga tidak sempurna dan masih banyak perkara serta tindakan yang harus diperbaiki.
“Perlu bagi kita untuk bergerak yang tidak semestinya defensif (hanya bertahan), ada yang perlu diperbaiki. Negeri-negeri yang saya turun lawati bersama menteri, KSN (Ketua Setiausaha Negara ), KSP (Ketua Setiausaha Perbendaharaan), KPPA (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam), kita turun dan dengar pandangan mereka,” katanya.
Mengakhiri ucapannya selama kira-kira 40 minit itu, Anwar yang juga Presiden PKR mahu parti dipimpinnya muncul sebagai gergasi politik di negara ini.
“Pertama, keanggotaan mesti ramai, ranting mesti hidup dan cabang-cabang mesti segar. MPN (Majlis Pimpinan Negeri) harus lebih aktif dan jentera serta jawatankuasa mesti lebih hebat berbanding dulu.
“Parti perlu agresif menerangkan sikap dan pendirian serta bersungguh-sungguh perkuat jentera kita supaya PKR muncul sebagai gergasi dalam sistem politik negara kita,” katanya.-BH Online