Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Pembangunan pesat yang dipacu negara tidak akan bermakna sekiranya kerajaan tidak mempeduli nasib rakyat yang miskin, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, kerajaan perlu membela nasib golongan miskin tanpa mengira sama ada mereka orang Melayu, Cina, India atau Orang Asli.

Anwar meminta Johor menjadikan negeri itu bebas golongan miskin tegar dalam masa terdekat, sekali gus membela nasib golongan memerlukan.

“Saya datang ke Johor pagi tadi, adakan mesyuarat bersama Menteri Besar (Datuk Onn Hafiz Ghazi) dan kepimpinan negeri untuk kenal pasti beberapa projek pembangunan.

“Saya dimaklumkan bahawa kini terdapat tak sampai 2,000 keluarga yang dikategorikan sebagai miskin tegar kini di negeri ini. 

“Terima kasih kepada Kerajaan Johor dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) yang sentiasa membantu golongan miskin tegar ini. Insya-Allah, Johor mampu noktahkan kemiskinan tegar dalam masa terdekat.

“Apa erti pembangunan yang dipacu, jika kita tidak pedulikan nasib rakyat yang miskin dan tidak mempunyai kesempatan. Tidak kiralah sama ada org Melayu, Cina, India atau Orang Asli, semua rakyat Johor atau negara ini mesti diberi tempat dan dibela sebaiknya.

“Apa erti pembangunan yang kita pacu, jika kita abaikan pembangunan insan. Kita bina gedung, industri, lebuhraya, bangunan namun tidak bermakna jika manusia diremehkan. Oleh itu, kita tidak boleh pinggirkan pembangunan insan di saat kita bangunkan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 bersama Perdana Menteri di Angsana Mall Johor Bahru, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani.

Terdahulu, Anwar mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Johor di Iskandar Puteri, di sini, pagi tadi.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau menganggap pembangunan insan sama penting dengan pembangunan fizikal negara.

Katanya, atas sebab itulah beliau mengadakan majlis kecil meraikan hari ulang tahun kelahiran tokoh negarawan disegani, Tun Musa Hitam, di sini, hari ini.

“Itulah sebabnya saya sentiasa menghargai tokoh negarawan yang berjasa besar termasuk Tun Musa Hitam dan Tun Dr Ismail, bagi memberi inspirasi dan semangat kepada anak-anak muda negara ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, Johor hari ini tercatat sebagai negeri yang mencatat pertumbuhan amat membanggakan.

“Kejayaan ini adalah kerana pemimpin negeri yang amanah dan bersih. Oleh itu, Johor perlu pastikan jangan wujud golongan yang menyakau dan amalkan rasuah dalam pentadbiran selain beri perhatian kepada semua rakyat termasuk nelayan, pemandu teksi dan buruk untuk terus berjaya.

“Sempena Aidilfitri ini, mari kita angkat martabat negara ini supaya Malaysia terus bangkit menjadi negara hebat di rantau ini. Kita perlu catat perubahan baharu dan tinggalkan budaya lama untuk terus maju ke depan,” katanya.-BH Online