Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Sabah menerima pelaburan berjumlah RM11.34 bilion pada tahun lalu, sekali gus menjadikannya negeri ketujuh meraih pelaburan tertinggi di negara ini.

Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, berkata sejumlah RM1.51 bilion disumbangkan oleh pelaburan dalam sektor pembuatan yang amat menggalakkan dan menunjukkan segmen itu terus berkembang sebagai antara pemacu penting bagi ekonomi negeri itu.

Dalam ucapan Dasar Kerajaan Bersempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16 di sini hari ini, beliau berkata ini termasuk usaha syarikat SK Nexilis Malaysia Sdn Bhd yang mengembangkan pelaburan di Sabah menerusi anak syarikat, Curix Sdn Bhd dalam pembuatan kilang pemprosesan butiran tembaga dengan nilai pelaburan berjumlah RM300 juta.

“Pada 2024, Kerajaan Negeri akan memperkasa Pasukan Petugas Khas Pelaburan Pembuatan untuk memastikan semua cadangan pelaburan diluluskan dapat direalisasikan serta dipercepat pelaksanaannya.

“Perindustrian dan pelaburan terus menjadi pemacu kepada ekonomi negeri dengan sumbangan amat menggalakkan ke atas ekonomi negeri,” katanya.

Tun Juhar berkata, tumpuan akan terus diberikan kepada pelaksanaan inisiatif bagi meningkatkan keyakinan pelabur dalam bidang berpotensi seperti produk teknologi hijau, industri hiliran biojisim dan sumber mineral, pemprosesan dan pembuatan makanan serta peranti perubatan.

“Inisiatif lain adalah penyediaan dan pelaksanaan dasar serta hala tuju bagi sektor ini, termasuk penyediaan Pelan Induk Pembangunan untuk dua Taman Perindustrian baharu di Kota Belud dan Kimanis serta pelaksanaan Dasar Industri Biojisim Sabah,” katanya.

Menyentuh aspek hasil, beliau berkata 2023 turut menyaksikan kejayaan Sabah memungut hasil tertinggi iaitu RM6.974 bilion berbanding RM6.960 bilion pada tahun sebelumnya.

Selain pembuatan, katanya, sektor pelancongan terus menunjukkan trend pemulihan memberangsangkan pada tahun lepas dengan pertambahan ketibaan pelancong kepada 2.61 juta orang berbanding 1.72 juta orang pada 2022.

Malah, bagi tahun ini, kerajaan negeri menyasarkan ketibaan sehingga tiga juta pelancong yang akan dicapai menerusi usaha merancakkan pelaksanaan pelbagai inisiatif dan program pelancongan berimpak tinggi, termasuk pemberian insentif kepada pemain industri.

“Promosi dan kempen pemasaran pelancongan yang agresif akan diteruskan dengan memberi tumpuan kepada pelbagai program berimpak tinggi seperti kempen kebolehlihatan lebih tinggi yang terbukti mampu mengembangkan segmen pasaran khusus serta memberi pulangan tinggi,” katanya.

Tun Juhar berkata, kerajaan negeri Sabah juga sentiasa memberi tumpuan bagi membangun dan menyediakan infrastruktur serta fasiliti di kawasan pelancongan, khususnya di luar bandar, termasuk kawasan Taman-Taman Sabah dan Muzium Sabah sebagai persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026.-BERNAMA