Sorting by

×

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin sektor ekonomi Johor akan berkembang pesat mengatasi negeri-negeri lain dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Beliau berkata, perkara itu bersandarkan beberapa projek berimpak tinggi yang dirancang, khususnya Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas (SFZ).

“Zon ekonomi dan zon kewangan, kedua-duanya akan memacu pertumbuhan ekonomi lebih besar seperti yang disasarkan kerajaan negeri. Pelbagai pelan sedang dirangka (untuk menjayakannya).

“Ini akan bantu percepatkan pertumbuhan ekonomi Johor, jangkaannya dalam masa setahun atau dua tahun akan datang, ekonomi Johor akan lebih pesat berbanding negeri lain,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 Peringkat Negeri Johor di Bandar Baru Uda, di sini hari ini.

Sementara itu, dalam ucapannya, Anwar menyatakan komitmen beliau untuk membasmi isu kemiskinan tegar di negeri ini, selari dengan hasrat membangunkan Johor sebagai sebuah negeri maju.

“Pembangunan infrastruktur dan industri yang dirancang perlu mengambil kira manfaat yang dibawa kepada masyarakat termasuklah golongan akar umbi.

“Mengikut rekod, jumlah individu miskin tegar di negeri ini berada dibawah paras 2,000 orang. InshaAllah kita mampu noktahkan kemiskinan tegar di Johor dalam masa yang singkat. – KOSMO! ONLINE