Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Johor menafikan dakwaan bahawa Kampung Orang Asli Selai, Bekok, Segamat dipinggirkan berhubung pembaikan air tandak seperti dilaporkan sebuah portal berita semalam.

JAKOA Johor dalam kenyataan memaklumkan kampung itu sudah menerima bekalan air pelbagai sumber (tube well) yang dibangunkan oleh JAKOA, malah jabatan itu juga sedang menaik taraf sistem bekalan elektrik di sistem rawatan air di kampung berkenaan.

JAKOA Johor memaklumkan kontraktor penyelenggaraan juga telah melantik Tok Batin Ahcai untuk menyelia sistem berkenaan setiap hari dengan bayaran RM400 setiap bulan bagi memastikan sistem rawatan air beroperasi dengan baik.

“JAKOA Johor ingin memperbetulkan salah tanggapan berhubung dakwaan bahawa Kampung Orang Asli Selai, Bekok, Segamat dipinggirkan.

“Kampung tersebut telah menerima bekalan air pelbagai sumber yang dibangunkan oleh JAKOA dan bekalan air tandak sedia ada telah dibangunkan sendiri oleh penduduk kampung yang diketuai Tok Batin Ahcai, bertujuan untuk kegunaan mereka,” menurut kenyataan itu.

JAKOA Johor berkata penduduk terbabit juga menerima bantuan kewangan sebanyak RM1,000 daripada kontraktor penyelenggaraan sistem rawatan air bagi membaik pulih sistem tandak itu.

“JAKOA sentiasa memastikan penduduk Kampung Orang Asli Selai tidak ketinggalan daripada menerima pembangunan seperti perkampungan Orang Asli Johor yang lain.

“Kampung Orang Asli Selai mempunyai 64 ketua keluarga dengan jumlah penduduk seramai 226 orang. Kampung itu dilengkapi pelbagai kemudahan asas seperti bekalan elektrik TNB, jalan premix serta bekalan air daripada pelbagai sumber,” menurut kenyataan itu.

Semalam portal berkenaan melaporkan penduduk Kampung Orang Asli Selai terpaksa menggunakan kayu dan batu dalam usaha membaiki paip serta kolam takungan (tandak) air mereka.-Berita RTM