Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Dua lokasi dikenal pasti sebagai cadangan pembinaan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Lingkaran Tengah Utama (LTU) di negeri ini bagi kemudahan dan keselesaan pengguna jalan raya.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata dua lokasi yang dicadang itu adalah di antara laluan Bentong ke Raub dan Kampung Kechau Tui di Lipis.

“Ketika ini, status perancangannya adalah dalam tindakan Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Kerja Raya (JKR), KKR (Kementerian Kerja Raya), majlis daerah, serta kerajaan negeri sebab ia melibatkan tanah,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjurannya di sini, hari ini. null

Wan Rosdy berkata R&R itu diharap dapat dibina secepat mungkin.

Bagaimanapun, katanya, projek tersebut perlu melepasi pelbagai peringkat termasuk kelulusan daripada agensi dan kementerian berkaitan.

“Perkara ini (pembinaan R&R) tidak boleh disiapkan dalam masa terdekat kerana memerlukan perancangan, kelulusan sana-sini dan peraturan kita tidak kompromi.

“Kena ikut termasuklah membuat kajian tempat yang strategik. Kita akan usahakan dan mengharapkan ia dapat disegerakan,” katanya. 

Wan Rosdy berkata pengendali R&R tersebut belum diputuskan dan bergantung kepada keputusan LLM selain menambah, buat masa ini tidak ada perancangan untuk mengenakan tol di LTU.

Mengenai isu sampah yang memenuhi laluan LTU, beliau berkata beberapa tong sampah disediakan di kawasan yang dikenal pasti menjadi masalah pembuangan sampah-sarap oleh pengguna jalan raya khususnya ketika musim perayaan. 

“Saya menyeru kepada pemandu supaya mereka sebolehnya janganlah membuang sampah di merata-rata tempat, carilah lokasi yang sesuai,” katanya. 

Sebelum ini tular di media sosial masalah sampah yang memenuhi laluan LTU antara lain disebabkan ketiadaan R&R di lebuh raya berkenaan.- BERNAMA