Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini menerima menghadap pimpinan kanan UMNO dan DAP di Istana Negara.
Pemimpin yang hadir pada sesi itu ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong dan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.
Foto baginda bersama empat pemimpin berkenaan dimuat naik di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Sesi menghadap itu tertumpu kepada perkembangan semasa isu sensitiviti berkait agama dan kaum.
Dalam hantaran bersama foto berkenaan, Sultan Ibrahim berharap pemimpin politik di negara ini tidak ekstrem dalam memberikan pandangan berkenaan isu-isu agama dan perkauman.
Seri Paduka bertitah, pemimpin dari semua parti mesti menjadi jambatan atau penghubung antara masyarakat majmuk di Malaysia, dengan memberikan contoh perilaku yang matang.
“Saya ingin menasihati semua pihak untuk memberi tumpuan untuk mengajak rakyat ke arah perpaduan, bukannya perpecahan. Saya ingin melihat rakyat bersatu padu dengan harmoni,” titah baginda.
Sultan Ibrahim bertitah, kejadian baru-baru ini sepatutnya membuka mata semua pihak dari pelbagai lapisan masyarakat untuk mempunyai tanggungjawab menjaga perpaduan negara.
“Perpaduan yang jitu dalam kalangan rakyat, akan menjadi pemangkin kepada kesejahteraan sejagat Malaysia. Menjelang Hari Raya yang mulia ini, bermaaf-maafanlah antara satu sama lain dan buka lembaran baharu,” titah Seri Paduka Baginda. – BERNAMA