Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bekalan beras sebagai makanan ruji negara di pasaran mencukupi untuk memenuhi keperluan rakyat negara ini.

KPKM berkata, pada masa ini pengedaran stok beras putih tempatan (BPT) sedang giat dijalankan dan penurunan harga beras putih import (BPI) di antara RM2 hingga RM3 turut dilaksanakan bagi menampung keperluan pengguna.

Katanya, langkah diambil KPKM adalah hasil yang dimuktamadkan melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bulan lalu.

“Sehingga kini, stok fizikal beras negara sebanyak 1,096,964 tan metrik termasuk 290,000 tan metrik stok penimbal beras. 

“Bagi maksud keterjaminan bekalan beras negara, jumlah itu stabil serta mampu menampung keperluan untuk tempoh 5.48 bulan. 

“Tambahan pula, jumlah stok fizikal beras negara berbanding jumlah penduduk adalah antara tertinggi dan terjamin di rantau ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, kerajaan turut melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menjamin peningkatan pengeluaran beras tempatan khususnya melalui 12 Inisiatif Gelombang Padi. 

“Antara yang dirangka ialah peluasan program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) Ala Sekinchan, program penanaman padi lima musim untuk dua tahun dan inisiatif memperkukuh infrastruktur pengairan sawah.

“KPKM juga menggalakkan penanaman dan pengambilan hasil tanaman-tanaman lain yang bernutrisi dan sihat oleh rakyat selain daripada makanan ruji negara. 

“Perkara ini antara penekanan utama KPKM dalam melaksanakan agenda keterjaminan makanan negara selaras dengan Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2021-2030,” katanya.-BH Online