Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan telah menyusun strategi jangka masa pendek dan panjang bagi memperkukuhkan daya saing pelabuhan utama negara iaitu Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata strategi itu meliputi aspek penambahan kapasiti, peningkatan kecekapan dan produktiviti, serta transformasi ke arah pelabuhan hijau rendah karbon.

“Kementerian Pengangkutan yakin prestasi pelabuhan utama negara akan tetap berkembang secara positif untuk tahun-tahun mendatang,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Dr A Lingeshwaran yang ingin tahu sama ada pembinaan jambatan darat yang bakal menghubungkan laut Adaman dengan laut Thailand akan menjejaskan bilangan kapal berlabuh di Malaysia dan perancangan Malaysia menanganinya.

Anthony berkata hubungan baik antara Malaysia dan Thailand membuka ruang kepada kedua-dua negara untuk menjalinkan kerjasama bagi mengusahakan inisiatif baharu berimpak tinggi demi kepentingan bersama.

“Selain pembangunan pelabuhan, Malaysia sedia berkongsi dengan Thailand mengenai perkembangan terbaru projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di mana stesen terminal ECRL di Kota Bharu sebenarnya sangat dekat dengan sempadan Malaysia-Thailand.

“Kerajaan juga terbuka kepada cadangan memanjangkan landasan ECRL ke sempadan Malaysia-Thailand dan disambungkan terus ke rangkaian rel Thailand sedia ada atau infrastruktur baharu yang akan dibangunkan pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata sekiranya ketersambungan landasan kereta api kedua-dua negara dapat dipertingkatkan, pergerakan kargo dan penumpang akan menjadi lebih pesat sekali gus memangkin pertumbuhan ekonomi di wilayah utara dan pantai timur Malaysia dengan Selatan Thailand.

Malah, beliau berkata pendekatan itu juga mampu meningkatkan integrasi ekonomi serantau dengan menghubungkan kedua-dua negara ke rangkaian dan pasaran China melalui Laos.

“Kementerian yakin Malaysia dan Thailand dapat menerokai formula kerjasama erat dalam bidang pengangkutan dan pembangunan negara demi kepentingan jangka masa panjang secara bersama,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Lingeshwaran sama ada terdapat mana-mana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dari Malaysia akan bertemu Thailand bagi menawarkan pelaburan dalam projek itu, Anthony berkata setakat ini perkara itu belum dirancang.

Pada 16 Feb lepas, Parlimen Thailand telah meluluskan laporan cadangan projek mega Chumphon-Ranong Land Bridge (CRLB) dengan konsep pembangunan melibatkan pembinaan pelabuhan di Chumphon dan Ranong yang dihubungkan dengan infrastruktur lebuh raya, landasan kereta api dan saluran paip.– BERNAMA