Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) perlu diletakkan semula di bawah Jabatan Perdana Menteri, kata bekas Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas (JPPK) MITRA, Datuk R Ramanan.

Beliau berkata, gesaan itu dibuat setelah mengambil kira pandangan pelbagai pihak, terutamanya masyarakat India yang melihat MITRA sebagai aset danarm of Indian community lebih ‘selesa’ berada di bawah kawal selia Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Komuniti India telah mengundi untuk menjadi Kerajaan Perpaduan ini, kerana Anwar Ibrahim, bukan sebab mana-mana menteri. 

“Biar kita jelas dan jujur mengenai perkara ini, komuniti kaum India memberikan hampir 90 peratus undi, dan ini kerana kepercayaan mereka kepada Perdana Menteri,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, gesaan itu juga disuarakan kerana infrastruktur dan sumber di bawah JPM lebih maju berbanding kementerian lain, sekali gus membantu pengurusan lebih efisien untuk unit khas itu.

MITRA pada asalnya dikenali sebagai Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India (SEDIC) yang ditubuhkan pada 2014, sebelum dijenamakan semula menjadi pada 2018 diterajui oleh Kementerian Perpaduan Negara. 

Namun pada September 2022 ia dipindahkan di bawah seliaan JPM.

Bagaimanapun pada Disember lalu, MITRA diletakkan semula di bawah Kementerian Perpaduan dengan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran dilantik sebagai Pengerusi JPPK MITRA menggantikan Ramanan pada Februari lalu.

Ramanan berkata, beliau tidak berniat untuk masuk campur dalam hal MITRA atau menyalahkan Menteri Perpaduan, namun dengan beberapa isu yang melanda ketika ini, beliau merasa terpanggil untuk berbuat sesuatu bagi menjaga keharmonian negara dan kesejahteraan rakyat khususnya masyarakat India.

Sebelum ini beberapa ahli Parlimen penyokong kerajaan antaranya RSN Rayer (PH-Jelutong) dan V Ganabatirau (PH-Klang), menyuarakan rasa tidak puas dengan tindakan Kementerian Perpaduan melantik firma perunding PEMANDU untuk menjalankan soal selidik bagi menghasilkan pelan tindakan MITRA.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata, beliau sendiri melihat tiada keperluan untuk menghasilkan pelan tindakan itu memandangkan sebelum ini pun sudah terdapat empat pelan tindakan berkaitan kaum India dihasilkan. 

“Untuk apa firma ini dilantik. Ini adalah kegilaan, kita sudah hidup di Malaysia berpuluh-puluh tahun mengkaji kesusahan komuniti India, tidak perlu lagi kajian seperti ini, kita sudah tahu, ” katanya. 

Sehubungan itu, Ramanan berkata beliau akan bertemu dengan Perdana Menteri bagi membincangkan hala tuju MITRA termasuk mengusulkan cadangan pengembalian semula unit khas itu di bawah JPM.

Katanya, beliau melihat banyak Ahli Parlimen dan senator berbangsa India yang berpengalaman dan dilihat layak sekiranya perlu, bagi menjadi ahli tambahan kepada JPPK berkenaan, antaranya Senator Lingeshwaran R Arunasalam dan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.

Ramanan berkata, Perdana Menteri perlu mengambil kira pandangan semua pemimpin-pemimpin India dalam hal ini.

“Bukan bermakna keputusan Perdana Menteri sebelum ini salah, kadang-kadang kita kena faham Perdana Menteri mempunyai banyak tugas, bukan sahaja untuk komuniti India, tapi Cina, India, Kadazan, Iban, Dayak,” katanya. 

Sebelum ini, Ramanan berkata MITRA berjaya membersihkan imejnya daripada tuduhan lalu mengenai salah urus dana berikutan penarafan rasmi ‘risiko rendah’ dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk 2023.

Menurut infografik kad laporan MITRA, ia menganjurkan 201 program sepanjang 2023 dengan RM19,029,325 dibelanjakan untuk program ekonomi dan kerjaya, RM5,865,615 untuk program sosial dan RM4,062,145 untuk program modal insan. – BERNAMA