Peningkatan kesedaran dan usaha untuk melindungi dan menjaga kualiti air penting bagi kelestarian alam sekitar dan kesihatan manusia, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata kualiti air juga dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti pencemaran industri, pertanian, pembangunan bandar, dan aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh manusia.
“Air merupakan asas kehidupan. Malaysia juga sentiasa menitikberatkan pelaksanaan undang-undang yang wajar bagi memelihara kualiti, sumber, dan bekalan air negara.
“Marilah kita bersama-sama berikrar untuk menjaga dan menghormati sumber air yang kita miliki – Kurangkan pembaziran dan lindungi kawasan tadahan air, kerana setiap titisan air amatlah berharga,” katanya dalam catatan menerusi Facebook bersempena sambutan Hari Air Sedunia hari ini.
Hari Air Sedunia disambut pada 22 Mac setiap tahun dengan tema sambutan tahun ini ‘Air Untuk Keamanan’.– BERNAMA