Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Prestasi Ringgit Malaysia berbanding Dolar Amerika Syarikat (AS) terus bertambah baik, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, perkembangan itu dimaklumkan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour, dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan 2 2024 hari ini.

Beliau berkata, ia hasil pelbagai inisiatif diselaraskan antara pihak kerajaan, BNM, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta unjuran yang diumumkan Federal Reserve AS semalam.

“Unjuran itu menunjukkan kadar inflasi AS yang lebih terkawal dan pelan utuh normalisasi dasar monetari AS dalam 2024 yang akan mengekang kenaikan dolar AS.

“Sejak memulakan operasi bersama, nilai Ringgit mengukuh sebanyak 1.4 peratus kepada 4.7135 hari ini daripada 4.7773 pada 23 Februari lalu,” katanya menerusi Facebook beliau malam ini.

Namun begitu, Perdana Menteri berkata, ketidaktentuan pasaran kewangan global akan terus mempengaruhi pergerakan Ringgit, selagi tindakan dasar monetari ekonomi maju masih tidak jelas.

“Justeru, kerajaan dan BNM akan terus mempergiat libat urus dengan pihak korporat, termasuk syarikat pengeksport, pengimport, GLIC dan GLC untuk menggalakkan aliran masuk dana ke dalam pasaran pertukaran asing,” katanya.

Pada mesyuarat sama, Anwar berkata, Pengukuhan Kerangka Jaminan Pendapatan Usia Tua di Malaysia turut dibincangkan, bertumpu kepada isu penuaan serta kesannya, termasuk persediaan negara dalam menyediakan jaminan pendapatan usia tua.

“Mesyuarat memutuskan satu kajian menyeluruh dijalankan bagi menambah baik kerangka jaminan pendapatan usia tua di Malaysia agar lebih holistik,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan akan melaksanakan New Deal For Business (NDFB) menerusi penambahbaikan kecekapan proses dan prosedur serta pelaksanaan reformasi struktur dalam menjalankan urusan perniagaan.

Katanya, PEMUDAH pula dipertanggungjawabkan memantau pelaksanaan semua inisiatif NDFB, yang bertujuan meningkatkan kepercayaan pelabur serta melonjak pertumbuhan produktiviti, daya saing dan ekonomi negara.-BH Online