Kadar asas bayaran zakat fitrah di Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Labuan kekal RM7 seorang dengan penetapan itu terpakai untuk semua umat Islam tanpa mengambil kira jenis beras yang dimakan, termasuk beras import.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata walaupun negara ketika ini berdepan isu ketiadaan beras tempatan, ia tidak menyebabkan berlaku kenaikan kepada kadar asas zakat fitrah.
Katanya, pengiraan kadar asas zakat fitrah sudah mengambil kira julat harga beras tempatan dan beras import biasa.
“Tidak timbul isu ketiadaan beras tempatan (menyebabkan individu yang memakan beras import perlu bayar zakat lebih tinggi).
“Bagi mana-mana individu tidak kira sama ada memakan beras import biasa atau beras yang lebih tinggi kualitinya sekalipun, tetap sah zakat fitrahnya jika dibayar mengikut kadar asas RM7,” katanya kepada BH, hari ini.
Mohd Na’im diminta mengulas kekeliruan segelintir umat Islam mengenai keperluan untuk membayar zakat fitrah mengikut jenis beras dimakan.
Kecelaruan itu timbul susulan bekalan beras tempatan yang tidak mencukupi ketika ini sehingga memaksa ramai beralih kepada beras import walaupun kurang berkemampuan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, umat Islam perlu memahami bahawa dua lagi kategori bayaran zakat fitrah iaitu bagi pengguna beras import premium, RM15 dan pengguna beras basmathi (RM22), bukanlah satu kewajipan.
“Perkara asas yang perlu difahami adalah fitrah dibayar mengikut makanan ruji tempatan, dalam konteks Malaysia, tentunya beras. Maka hukum asalnya fitrah dibayar menggunakan beras atau dibayar dengan nilai yang mewakili jumlah beras fitrah yang wajib ditunaikan.
“Pemilihan harga yang lebih tinggi adalah satu galakan dan dianggap lebih baik jika berkemampuan. Bagaimanapun, ia bukanlah satu kewajipan sebaliknya galakan untuk membayar dengan kadar yang lebih tinggi mengikut kemampuan,” katanya.
Jelasnya, penetapan harga fitrah dan kadar yang dianggap sah sudah dibincang Mesyuarat Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-143 yang berlangsung pada Oktober tahun lalu.
Katanya, ia telah diwartakan di bawah Seksyen 34 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam Wilayah Persekutuan 1993.
Beliau turut ditanya sama ada kerajaan bercadang membuat kajian atau rombakan terhadap kadar zakat fitrah semasa mengambil kira konteks dihadapi rakyat hari ini termasuk ketiadaan beras tempatan.
“Kajian mengenai harga fitrah berdasarkan harga beras ini sudah dibuat ketika penyediaan kertas kerja bagi dibentangkan ke Majlis Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan. Kajian dibuat oleh pihak Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
“Justeru, penetapan harga fitrah bagi tahun ini sudah mengambil kira kajian menyeluruh dan kajian semula akan dibuat tahun depan jika berlaku perubahan signifikan terhadap harga beras,” katanya.-BH Online