Lembaga Pengarah PETRONAS telah meluluskan pembayaran dividen kepada kerajaan sebanyak RM32 bilion bagi 2024.
Pada 2023, syarikat minyak dan gas nasional itu membayar dividen kepada kerajaan sebanyak RM40 bilion.
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan PETRONAS, Liza Mustapha, berkata Lembaga Pengarah PETRONAS meluluskan pembayaran dividen kepada kerajaan semalam.
Beliau berkata, pembayaran dividen itu akan dibuat secara berperingkat bermula April sehingga Disember tahun ini.
“Semalam, Lembaga Pengarah PETRONAS meluluskan pembayaran dividen RM32 bilion dan akan dibayar antara April hingga Disember,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai pembayaran dividen PETRONAS kepada kerajaan tahun ini pada sidang media mengumumkan prestasi kewangan PETRONAS bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.
Dalam Laporan Tinjauan dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2024 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan pada Oktober tahun lalu menyatakan bahawa dividen tahunan daripada PETRONAS dijangka lebih rendah, iaitu RM32 bilion pada 2024.
Pada awal tahun ini, Affin Hwang Investment Bank menjangkakan paras aktiviti PETRONAS kekal tinggi dalam tempoh tiga tahun akan datang sejajar dengan peningkatan komitmen belanjawan syarikat minyak dan gas negara itu, membawa secara keseluruhan perbelanjaan modal RM300 bilion dalam tempoh lima tahun.
Ia disebabkan oleh kunci kira-kira PETRONAS yang kukuh kini berada pada kedudukan tunai bersih RM108 bilion, selain pengurangan komitmen dividen yang dianggarkan RM32 bilion pada 2024 adalah lebih rendah daripada RM40 bilion pada 2023 dan RM50 bilion pada 2022.-BH Online