Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan projek bangunan tambahan Hospital Seberang Jaya (HSJ) yang mengalami kelewatan beberapa tahun lalu akan siap akhir tahun ini.
Anwar berkata, projek itu menelan peruntukan keseluruhan hampir RM500 juta dan berharap dapat disiapkan dengan kadar segera.
“Projek bangunan tambahan yang terlambat ini mudah-mudahan akan siap sebelum akhir tahun ini. Projek itu kosnya dah sampai RM500 juta,” katanya ketika ditemui pemberita di luar perkarangan HSJ, di sini, hari ini.
Terdahulu Anwar meluangkan masa hampir satu jam melawat dan mendengar taklimat berhubung keadaan semasa HSJ oleh Pengarah Hospital terbabit, Dr Saiful Azlan Sharif.
null
Dalam lawatan itu, Anwar meluluskan peruntukan tambahan RM1 juta bagi kerja-kerja menaik taraf tangki air HSJ termasuk pembelian peralatan serta perkakasan perubatan.
Anwar berkata, peruntukan itu akan disegerakan memandangkan ia satu keperluan mendesak di hospital berkenaan pada ketika ini.
“Saya tadi kebetulan ke Sungai Petani kemudian singgah sekejap (ke HSJ) untuk pantau apa-apa keadaan mendesak diperlukan (di sini).
“Apa-apa keperluan seperti perkakasan, peralatan yang perlu disegerakan saya luluskan antaranya (pembelian) mesin ventilator, (naik taraf) tangki air, mesin ultra-sound dan bilik susuan (untuk ibu-ibu).
“Saya juga ingin ucapkan terima kasih kepada kakitangan yang bekerja bertungkus-lumus walaupun dalam keadaan sesak,” katanya.
Projek pembinaan bangunan tambahan HSJ yang bermula pada tahun 2016 dengan peruntukan RM368 juta itu pada awalnya dijadualkan siap pada tahun 2020.
Bangunan bertingkat baharu antara lain merangkumi enam dewan bedah, 316 katil, tempat meletak kenderaan serta kemudahan lain.
Projek ini dikatakan mengalami kelewatan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kerana COVID-19, tiga tahun lalu.
Sementara itu, Dr Saiful berkata, beliau menghargai keprihatinan Perdana Menteri yang meluluskan peruntukan tambahan bagi menaik taraf serta menambah beberapa peralatan yang menjadi keperluan mendesak di hospital terbabit.
“Kita telah buat permohonan sebelum ini dan hari ini, Perdana Menteri datang melawat (hospital) dan telah meluluskan peruntukan RM1 juta.
“Peruntukan itu adalah untuk menaik taraf tangki air selain perolehan untuk unit ultra sound di wad pediatrik serta di bilik penyusuan ibu,” katanya.-BH Online