Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) memperuntukkan RM18.9 juta bagi melahirkan 1,500 usahawan rintis melalui Kursus Kemahiran Jangka Pendek (KKJP) dan Quick Win di setiap negeri, tahun ini.

Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Ahmad Kamal Idris Nawawi, berkata ini antara usaha KEMAS dalam melahirkan ekosistem keusahawanan penduduk luar bandar yang menyeluruh dan kondusif serta mampu bersaing ke pasaran yang lebih luas.

“Untuk Negeri Sembilan, RM608,000 diperuntukkan bagi pelaksanaan program kemahiran dan melahirkan usahawan rintis yang berteraskan peningkatan pendapatan dan ekonomi termasuk wanita dan belia.

“Ini juga satu usaha KEMAS menyokong agenda utama Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang berlangsung baru-baru ini dalam pemerkasaan ekonomi Bumiputera.

“Usahawan Rintis KEMAS memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan ekonomi Bumiputera dan bersedia untuk menyumbang idea, pengalaman dan semangat untuk mencapai matlamat pemerkasaan ekonomi yang lebih baik bagi semua Bumiputera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku (WINS)Sempena Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Sembilan 2024, di sini, hari ini.

Majlis dirasmikan Exco Kanan Kerajaan negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Noorzunita Begum Mohd Ibrahim dan Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan.

Ahmad Kamal Idris berkata, sebanyak RM180,000 diperuntukkan bagi KEMAS Negeri Sembilan untuk melaksanakan Kursus Kemahiran Quick Win membabitkan bidang Dandanan Diri (Jurugaya Rambut), Seni Tangan (Dekorasi Belon: Gift & Surprise Planner), Jahitan (Pukal Industri) dan Masakan (Retort).

“Selain itu, sebanyak RM1.1 juta diperuntukkan kepada KEMAS Negeri Sembilan bagi kerja menaik taraf dan baik pulih kelas kemahiran merangkumi empat premis PKK di Pusat Kegiatan Masyarakat KEMAS (PKM) Jelebu dan Pusat Masakan di PKM Batu Kikir termasuk naik taraf pejabat,” katanya.-BH Online