Penggal pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH), GRS-PH Plus sah sehingga September 2025.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pilihan raya negeri (PRN) boleh diadakan selepas tamat tempoh penggal atau boleh diadakan pada bila-bila masa.
“Itu pun bergantung kepada Ketua Menteri, kalau-kalau diberi petunjuk atau ilham, untuk mengadakan PRN lebih awal daripada tempoh yang sepatutnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Amanat dan Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan Tahun 2024 bertempat di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, sama ada PRN dilaksanakan selepas atau sebelum tamat penggal, sokongan penuh penjawat awam sama ada negeri atau Persekutuan kepada kerajaan hari ini ialah perkara paling mustahak.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada semua penjawat awam atas kerjasama dan sokongan terhadap dasar kerajaan negeri di bawah pimpinannya, selama tiga tahun ini.
“Perkhidmatan awam adalah sebahagian daripada jentera kerajaan, di sinilah letaknya nadi atau jentera yang menggerakkan sistem penyampaian kerajaan.
“Cepat atau lambat, efektif atau kurang efektif, efisien atau pun tidak, sistem penyampaian kerajaan, semuanya terletak di atas bahu penjawat awam.
“Bukan kecil peranan dan tanggungjawab para penjawat awam, dari yang serendah-rendah jawatan hinggalah ke peringkat pengurusan, semuanya mempunyai tanggungjawab dan peranan yang telah ditetapkan,” tegasnya.
Hajiji berkata, kerajaan berusaha melakukan pelbagai penambahbaikan dalam perkhidmatan awam Sabah dengan penekanan kepada aspek pengukuhan nilai integriti.
Katanya, perkara terbabit sangat wajar diberi perhatian serius susulan daripada beberapa kes lalu, isu integriti, ketirisan dan salah guna kuasa kerap berlaku dan ada melibatkan penjawat awam.-BH Online