KUALA LUMPUR: Seramai 133,400 orang etnik Rohingya didaftarkan sebagai pelarian dan pemohon suaka di Malaysia, berdasarkan rekod Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sehingga 30 September lalu.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata 6,294 etnik Rohingya direkodkan dalam tahanan di Depoh Tahanan Imigresen seluruh negara daripada keseluruhan 11,208 tahanan warga Myanmar berdasarkan rekod Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), sehingga 31 Oktober lalu.
Katanya, penghantaran pulang warga asing, terutama yang tidak memiliki dokumen perjalanan atau dokumen pengenalan diri yang sah, memerlukan kerjasama negara asal bagi melaksanakan proses pengenalpastian, pengesahan kewarganegaraan serta pengeluaran dokumen perjalanan diperlukan.
“Hingga 31 Oktober lalu, 12,176 warga Myanmar dihantar pulang ke negara asal sepanjang tahun ini, termasuk 1,476 tahanan warga Myanmar yang sudah dihantar pulang pada 29 September lalu melalui operasi penghantaran pulang secara berskala besar menggunakan kapal Tentera Laut Myanmar.
“Bagaimanapun, rekod penghantaran pulang berkenaan adalah berdasarkan kewarganegaraan yang disahkan oleh negara asal dan bukannya etnik.
“Oleh itu, angka berkenaan tidak merujuk secara khusus kepada jumlah etnik Rohingya yang dihantar pulang,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang mahu tahu bilangan terkini pelarian Rohingya di Malaysia termasuk yang sudah dihantar pulang ke Myanmar tahun ini.
Selain itu, Lim juga mahu tahu cara mereka memasuki Malaysia serta agensi Kerajaan yang bertanggungjawab terhadap punca berlakunya kelemahan yang membolehkan kemasukan berkenaan.
Saifuddin Nasution berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Luar Negeri (KLN) dalam melaksanakan rundingan serta penyelarasan dengan Kerajaan Myanmar.
Ia terutama bagi mempercepat proses pengesahan kewarganegaraan, penyediaan dokumen perjalanan dan penerimaan semula warganegara Myanmar oleh negara asal.
“Kerjasama ini penting bagi memastikan pelaksanaan penghantaran pulang dapat dilaksanakan secara selamat, tersusun dan bertanggungjawab, selaras dengan peruntukan undang-undang dan prosedur yang berkuat kuasa,” katanya.
Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata, antara modus operandi yang dikenal pasti membabitkan kemasukan warga asing secara tidak sah melalui laluan darat dan laut yang tidak diwartakan sebagai pintu masuk rasmi negara.
Katanya, pergerakan berkenaan membabitkan rangkaian sindiket penyeludupan migran peringkat serantau yang mengatur perjalanan merentas sempadan daripada Myanmar atau Bangladesh, termasuk melalui negara transit sebelum memasuki Malaysia.
“Bagaimanapun, laluan dan kaedah kemasukan seseorang individu hanya dapat dipastikan melalui siasatan serta semakan rekod oleh pihak berkuasa.
“Daripada aspek tanggungjawab kawalan sempadan negara, pelaksanaannya membabitkan kerjasama pelbagai agensi keselamatan dan penguatkuasaan berdasarkan bidang kuasa serta kawasan tanggungjawab masing-masing,” katanya. -BH Online

