Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Peralihan hijau membuka lebih banyak peluang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan untuk meningkatkan keupayaan, menembusi pasaran baharu dan menyertai rantaian nilai ekonomi hijau global.

Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata PMKS memainkan peranan penting dalam ekonomi negara menerusi penyediaan peluang pekerjaan, sokongan kepada komuniti dan sumbangan kepada rantaian bekalan industri.

Katanya, penyertaan perusahaan tempatan dalam industri masa depan perlu diperkukuh melalui kerjasama dengan penyedia teknologi, rakan pembiayaan dan pembeli antarabangsa bagi membolehkan mereka merebut peluang pertumbuhan dalam ekonomi hijau.null

“Melalui padanan perniagaan dan inisiatif seperti MyHIJAU Mark, kita membantu perusahaan Malaysia menunjukkan kelayakan alam sekitar produk dan perkhidmatan mereka,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata demikian ketika merasmikan Pameran dan Persidangan Produk Teknologi Hijau dan Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2026 serta Sidang Kemuncak Kelestarian Kuala Lumpur 2026 (KLSS 2026) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Fadillah berkata, sokongan praktikal diperlukan bagi membantu perniagaan meningkatkan kecekapan penggunaan sumber, memenuhi keperluan pasaran dan mengguna pakai teknologi bersesuaian untuk memanfaatkan peluang ekonomi hijau.

Katanya, akses kepada pembiayaan turut menjadi faktor penting dalam merealisasikan peralihan itu antaranya melalui Skim Pembiayaan Teknologi Hijau 5.0 dan Elaun Cukai Pelaburan Hijau.

Bagaimanapun, beliau berkata, sokongan berkenaan perlu disertai penyediaan projek yang kukuh, penilaian berwibawa dan pelaksanaan berkesan bagi memastikan modal disalurkan kepada projek yang berdaya maju secara komersial serta bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

Potensi pertumbuhan sektor itu turut dicerminkan menerusi penganjuran IGEM 2026 yang menghimpunkan lebih 450 pempamer tempatan dan antarabangsa, dengan nilai prospek perniagaan dijangka melebihi RM22.5 bilion.

Dalam pada itu, Fadillah berkata, Malaysia melalui Sumbangan Yang Ditentukan di Peringkat Negara Ketiga (NDC 3.0) menyasarkan pengurangan mutlak pelepasan karbon dioksida bersamaan antara 15 juta hingga 30 juta tan menjelang 2035 daripada paras puncak pelepasan.

“Peralihan tenaga perlu dilaksanakan secara teratur dengan mengambil kira keselamatan tenaga, kemampuan pengguna dan kelangsungan kehidupan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, penganjuran tahun ini turut menyaksikan penyertaan Malaysia dalam Program Daerah Sisa Sifar Global menerusi dua kawasan, iaitu Pulau Tikus dan Presint KLCC.

Program itu menyasarkan pengurangan sisa yang dihantar ke tapak pelupusan sebanyak 70 peratus menjelang 2030 dan 100 peratus menjelang 2040. -BH Online