Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak meneruskan cadangan penubuhan Suruhanjaya Keharmonian Negara (SKN) sebagai entiti baharu, kata Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang. 

Sebaliknya, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan memberi tumpuan kepada pengukuhan institusi sedia ada, iaitu Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Komuniti Rukun Tetangga (KRT) dan Mediator Komuniti sebagai ejen peneraju dalam mengurus keharmonian sosial.

Aaron berkata, keputusan itu dibuat selepas KPN mengadakan dua sesi libat urus membabitkan pertubuhan masyarakat sivil, agensi kerajaan, ahli akademik, pemimpin masyarakat dan pihak berkepentingan lain bagi menilai keperluan, skop, implikasi, cabaran serta kebolehlaksanaan penubuhan SKN. null

“Selepas mengambil kira pandangan semua pihak serta penelitian lanjut kementerian, KPN memutuskan untuk tidak meneruskan penubuhan SKN sebagai entiti baharu seperti mana dibincang dan diputuskan di dalam Mesyuarat Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) Bilangan 1 Tahun 2026.

“Cadangan ini juga dapat mengelakkan pertindihan fungsi dan kos penubuhan entiti baharu, di samping memanfaatkan struktur, jaringan dan instrumen sedia ada yang telah dibangunkan oleh JPNIN melalui KRT, Mediator Komuniti, PRISMA, e-Sepakat, RAKAN dan jaringan pegawai perpaduan di peringkat negeri serta daerah,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen. 

Beliau menjawab soalan Dr V Sivakumar (PH-Batu Gajah) yang meminta menteri menyatakan status dan garis masa penubuhan Suruhanjaya Harmoni, kuasa penguatkuasaan yang dicadangkan serta jaminan bahawa suruhanjaya ini tidak bertindih dengan agensi sedia ada dalam menangani diskriminasi dan ketegangan antara kaum. 

Pada April lalu, dilaporkan bahawa kerajaan menghidupkan semula rancangan menubuhkan SKN dengan KPN menyokong cadangan baharu itu susulan kebimbangan yang semakin meningkat berkaitan isu perpaduan. 

Cadangan itu susulan syor aktivis, Tan Sri Lee Lam Thye dan dibangunkan berdasarkan usaha terdahulu sejak 2015 apabila Majlis Penasihat Perpaduan Negara merangka tiga rang undang-undang berkaitan kesalahan kebencian berasaskan kaum dan agama, keharmonian serta rekonsiliasi nasional dan penubuhan suruhanjaya.

Bagaimanapun, pada 2019, kerajaan menolak dua daripada rang undang-undang berkenaan berikutan pertindihan dengan undang-undang sedia ada dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan termasuk Perkara 8 berkaitan prinsip tanpa diskriminasi. -BH Online