Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Permohonan Kerajaan Pulau Pinang untuk membatalkan pewartaan pengubahan had pelabuhan dan pengecualian bayaran caj bagi pelaksanaan projek Pulau Silikon sedang diteliti Kementerian Pengangkutan.

Pengubahan had pelabuhan adalah perkara di bawah bidang kuasa Menteri Pengangkutan sebagaimana diperuntukkan mengikut subseksyen 6(3), Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 [Ordinan 70/1952].

Sehubungan itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sebarang cadangan berkaitan pengubahan atau penetapan semula had pelabuhan perlu diteliti berdasarkan peruntukan perundangan yang berkuat kuasa, selain mengambil kira aspek keselamatan pelayaran, pengurusan dan pengoperasian pelabuhan serta kepentingan pihak-pihak berkepentingan. null

“Pada masa sama, cadangan berkaitan pengecualian atau pengenaan caj pelabuhan bagi projek terbabit turut sedang diteliti dan diperhalusi kementerian.

“Ia akan mengambil kira peruntukan dan struktur caj pelabuhan yang berkuat kuasa, implikasi kewangan serta kepentingan pengurusan dan operasi pelabuhan. 

“Kedua-dua perkara terbabit iaitu cadangan berkaitan pengubahan had pelabuhan serta pengecualian caj pelabuhan masih dalam penelitian dan pertimbangan Kementerian Pengangkutan,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.

Beliau menjawab soalan Chow Kon Yeow (PH-Batu Kawan) mengenai status permohonan Pulau Pinang berhubung pembatalan pewartaan pengubahan had pelabuhan atau pengecualian bayaran caj-caj pelabuhan terhadap projek Pulau Silikon yang bakal menjana kepada pembangunan ekonomi negara kelak. 

Loke menjelaskan, penelitian itu turut mengambil kira aspek perundangan, teknikal, operasi, keselamatan pelayaran serta implikasi terhadap pengurusan kawasan perairan dan operasi pelabuhan yang berkaitan.

Katanya, kementerian juga sedang mendapatkan pandangan dan maklum balas agensi serta pihak berkepentingan berkaitan bagi memastikan sebarang keputusan dibuat selaras peruntukan undang-undang, dasar kerajaan dan kepentingan pengurusan pelabuhan serta keselamatan pelayaran negara. 

“Sebarang perkembangan atau keputusan berhubung perkara ini akan dimaklumkan kepada pihak kerajaan Pulau Pinang selepas proses penelitian dan pertimbangan itu selesai,” katanya.-BH Online