Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA KINABALU: Sabah negeri penerima peruntukan tertinggi projek kecil dan Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) di bawah Kementerian Ekonomi membabitkan sebanyak 2,301 projek bernilai RM582.29 juta sejak 2023.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata jumlah itu sebahagian daripada 8,069 projek kecil dan IKR bernilai RM1.52 bilion yang diluluskan kementeriannya setakat ini di seluruh negara.

“Sabah negeri penerima peruntukan tertinggi, dengan sejumlah RM582.29 juta disalurkan bagi 2,301 projek. 

“Daripada jumlah itu, sebanyak 985 adalah projek IKR bernilai RM175.24 juta dan 1,316 lagi projek kecil bernilai RM407.05 juta disalurkan kepada agensi pelaksana di Sabah,” katanya selepas melawat Projek Menaik Taraf Jambatan Kayu kepada Jambatan Separa Konkrit di Kampung Kalansanan, Inanam, di sini, semalam.

Katanya, pelaksanaan projek yang cekap dan berintegriti penting bagi memastikan peruntukan pembangunan diterjemahkan kepada kemudahan yang nyata, selamat dan berfungsi untuk rakyat. 

Keutamaan kerajaan, katanya adalah memastikan projek kecil dan IKR menyelesaikan keperluan sebenar di peringkat komuniti, di samping memperkukuh akses kepada kemudahan asas serta menyokong aktiviti ekonomi tempatan.

Terdahulu, beliau berkata lawatan ke projek IKR di Kampung Kalansanan itu bagi menzahirkan komitmen kerajaan untuk memastikan pelaksanaan projek kemudahan rakyat dipantau rapi dan memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat. 

Katanya, projek bernilai RM199,508 itu dilaksanakan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui IKR di bawah kementeriannya.

“Projek yang siap pada 13 Januari 2026 ini membabitkan kerja menaik taraf jambatan sepanjang 70 meter dan 1.8 meter lebar bagi meningkatkan keselamatan serta kemudahan pergerakan penduduk. 

“IKR menyediakan saluran kepada rakyat untuk mengemukakan permohonan projek infrastruktur awam kecil secara terus melalui Sistem IKR, dengan kos projek tidak melebihi RM200,000. 

“Projek kecil pula dilaksanakan melalui permohonan agensi Kerajaan dengan kos tidak melebihi RM500,000,” katanya.

Beliau berkata, skop kedua-dua saluran projek itu meliputi kerja membaik pulih, menaik taraf dan menyelenggara kemudahan awam sedia ada serta pembinaan infrastruktur baharu seperti jalan, jambatan, longkang, parit, gabion, dewan, taman permainan dan masjid atau surau. -BH Online