Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kini beralih tumpuan daripada sekadar menjamin kebolehpasaran graduan (Graduate Employability) kepada memperkukuh kuasa pendapatan graduan (Graduate Earning Power).

Menterinya, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, langkah itu perlu bagi memastikan graduan di negara ini bukan sahaja mendapat pekerjaan, malah menerima imbuhan yang setimpal dengan tahap kelulusan, kemahiran dan produktiviti mereka.

Beliau mendedahkan bahawa walaupun prestasi pasaran graduan menunjukkan trend positif dengan kadar pengangguran turun kepada 3.2 peratus pada 2024, isu pokok yang masih membelenggu adalah jurang pendapatan mengikut tahap kemahiran.

“Masalah sebenarnya bukan semata-mata graduan tidak mendapat pekerjaan, sebaliknya mereka mendapat pekerjaan yang tidak sepadan dengan kelayakan.

“Data menunjukkan median gaji graduan berkemahiran tinggi adalah sekitar RM5,723, namun bagi pekerjaan separa mahir ia merosot kepada RM2,550, manakala pekerja berkemahiran rendah hanya menerima RM1,990.

“Inilah yang kita perlu tangani melalui mobiliti ke pekerjaan berkemahiran tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan (PSKG) 2026-2030, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zambry berkata kementeriannya tidak boleh bergerak sendirian dalam merangka solusi itu, sebaliknya memerlukan kerjasama rentas kementerian dan agensi untuk menyelaraskan isu kenaikan gaji dan kadar guna tenaga tidak penuh (underemployment).

Selain itu, beliau menekankan keperluan peralihan daripada ‘Polisi Industri’ kepada ‘Polisi Bakat’ (Talent Policy) bagi memenuhi keperluan sektor ekonomi baharu.

“Kita perlu mengenal pasti berapa ramai graduan dan jenis kemahiran yang diperlukan oleh industri masa depan seperti semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), pusat data, ekonomi digital, teknologi hijau serta aeroangkasa.

“Universiti kini telah mula melakukan proses unbundle(merungkas) sistem pendidikan agar tidak lagi berteraskan teori semata-mata, sebaliknya menyediakan saluran bakat (talent pipeline) yang terus diserap ke dalam industri,” katanya.

Dalam pada itu, Zambry turut menggesa institusi pendidikan tinggi termasuk politeknik dan kolej komuniti agar lebih berani dan “disruptif” dalam merangka kurikulum agar tidak ketinggalan di belakang perkembangan pesat industri.

Beliau memuji perkembangan institusi di koridor utara atau ‘Lembah Silikon Malaysia’ seperti Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan politeknik di Kedah serta Pulau Pinang yang berjaya menyesuaikan diri dengan ekosistem industri semikonduktor di kawasan tersebut.

“Kurikulum kita perlu lebih anjal. Jika perlu, kita ubah sama sekali sifat institusi tersebut untuk memastikan ia kekal relevan dengan keperluan semasa dan masa hadapan,” tegas beliau.-BH Online