Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MELAKA: Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedia bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Melaka dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) sebagai usaha jangka pendek bagi mengatasi isu bekalan air di Kem Terendak.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata menerusi kerjasama itu, beliau berharap bekalan air bersih oleh SAMB dapat disalurkan kepada warga tentera yang terjejas susulan pelaksanaan Projek Pembangunan dan Naik Taraf Sistem Retikulasi Air di kem tersebut yang dijangka siap pada April 2028.

“MINDEF sedia maklum isu gangguan bekalan air yang merupakan antara masalah dihadapi warga tentera dan ahli keluarga dalam Kem Terendak sepanjang pelaksanaan projek berkenaan yang kini dalam proses reka bentuk oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Sehubungan dengan itu, dalam tempoh pembinaan sekitar dua tahun ke hadapan, kita akan bekerjasama dengan SAMB sebagai usaha jangka pendek bagi mengatasi isu air di Kem Terendak,” katanya kepada pemberita selepas melawat rumah seorang veteran tentera sempena Program Peduli Veteran MADANI di Taman Terendak Permai di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sophian Isswandy Ismail.

Adly berkata Projek Pembangunan dan Naik Taraf Sistem Retikulasi Air di Kem Terendak melibatkan kerja-kerja menaik taraf sistem bekalan air termasuk penggantian hampir keseluruhan saluran paip uzur melibatkan kos hampir RM40 juta yang perlu dilaksanakan untuk keselesaan pada masa hadapan.

Pada bulan lepas, media melaporkan kira-kira 2,000 warga tentera dan isi rumah serta lima sekolah termasuk sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dalam kem itu terjejas, ekoran gangguan bekalan air di kem berkenaan selama lebih lima hari.

Bagi membantu meringankan beban mereka yang terjejas, SAMB telah menghantar bantuan bekalan air sebanyak 25,000 gelen menggunakan 25 lori tangki.

Kerajaan negeri menerusi SAMB juga bercadang membina tangki air di kem itu sebagai pelan jangka pendek bagi mengatasi isu bekalan air yang kerap berlaku dalam kem berkenaan.

Terdahulu, Adly berkata sebanyak 16 rumah veteran ATM, balu veteran serta keluarga yang mempunyai isteri atau anak Orang Kurang Upaya (OKU) di sekitar kawasan Sungai Udang dilawati sempena Program Peduli Veteran MADANI hari ini.

Katanya, program itu dilaksanakan bagi meninjau kehidupan veteran di samping menyampaikan pelbagai bentuk bantuan mengikut keperluan penerima seperti baik pulih rumah, peralatan perubatan, bantuan sara hidup dan keperluan harian.– BERNAMA