PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi memberi jaminan akan melindungi penjawat awam menjalankan tugas secara profesional daripada sebarang tekanan susulan pertembungan politik semasa.
Sambil membidas pihak didakwa cuba memberi tekanan itu, beliau meminta penjawat awam terus menjalankan tanggungjawab mengikut peraturan dan saluran perundangan betul tanpa perlu mencampuradukkan politik dengan pentadbiran.
“Saya juga tahu ada di kalangan anda yang mungkin dipanggil, berdepan tekanan susulan pertembungan politik ini. Tetapi, percayalah selagi mana saya memegang amanah sebagai menteri, saya beri jaminan setiap pegawai kementerian akan saya lindungi.”
Menteri kemajuan desa dan wilayah itu dipercayai merujuk penjawat awam yang dipanggil kerana menyertai program anjuran kementerian di negeri mengadakan PRN baru-baru ini.
“Teruskanlah berkhidmat dan laksanakan tanggungjawab yang diberikan mengikut peraturan dan saluran perundangan betul.
“Saya akan lindungi…Saya profesional dalam perkara ini. Saya mahu mengikut peraturan dan saluran perundangan betul. Insya-Allah. Siapa yang akan pergi, siapa yang diperintah pergi, tengok nanti,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
Zahid bagaimanapun tidak menamakan pihak yang didakwa memberi tekanan kepada penjawat awam, tetapi mendakwa ia dilakukan pihak memegang jawatan tinggi.
“(Tekanan itu) oleh ketua di atas sana, tak tahu siapa namanya, tetapi fahamilah perkara ini.”
Menurutnya, perkembangan politik semasa khususnya selepas PRN Johor dan Negeri Sembilan mungkin menimbulkan persoalan dalam kalangan penjawat awam mengenai kestabilan kerajaan perpaduan serta hala tuju pentadbiran.
Tetapi, tegasnya, persaingan politik di peringkat negeri tidak patut menjejaskan pentadbiran di peringkat persekutuan sehingga Parlimen dibubarkan.
“Kerajaan perpaduan hari ini dibentuk berasaskan persefahaman dan perjanjian yang jelas untuk ia kekal sehingga Parlimen dibubarkan. Jadi, selagi tiada pembubaran berlaku, kerajaan persekutuan akan terus berfungsi, pentadbiran akan diteruskan dan setiap amanah kepada rakyat akan dilaksanakan seperti biasa.”
Jelasnya, penjawat awam perlu peka terhadap perkembangan politik dan memahami konteks yang membentuk dasar kerajaan, namun tidak boleh terheret ke dalam politik kepartian.
Beliau turut menegaskan perlu ada garis pemisah jelas antara politik dan pentadbiran, dengan profesionalisme penjawat awam memastikan setiap tugasan dilaksanakan secara berintegriti untuk negara serta rakyat.
“Di negeri boleh kita berbeza pendapat. Tapi bila kita melaksanakan pentadbiran di peringkat pusat, kita tidak boleh ada perbezaan. Sebaliknya, kita mesti satu fikrah, satu perasaan dan satu tujuan untuk menentukan rakyat mesti didahulukan dalam melaksanakan urusan kerajaan di peringkat pusat.
“Urusan kerajaan tidak boleh terhenti hanya kerana suhu politik meningkat.”
Tiada kompromi pecah amanah, salah tadbir TH
Zahid yang juga presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional berkata, pihaknya tidak akan berkompromi jika terbukti berlaku penyelewengan, pecah amanah atau salah tadbir dalam Lembaga Tabung Haji (TH), termasuk pada era pentadbiran gabungan itu.
Katanya, pendirian itu kekal walaupun laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja TH hanya dijadualkan dibentang dan dibahas di Dewan Rakyat pada 11 Ogos ini. -BH Online
