Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kerajaan mengarahkan beberapa penambahbaikan segera dilaksanakan termasuk menempatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) susulan kes penahanan juruterbang Malaysia Airlines di Indonesia, minggu lalu kerana disyaki menyeludup dadah.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dimaklumkan langkah penambahbaikan terbabit oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT).

“Berhubung penahanan seorang juruterbang ataupun ‘co-pilot’ MAS di Jakarta, Jemaah Menteri dimaklumkan oleh pihak KDN dan MOT bahawa beberapa langkah penambahbaikan perlu dilaksanakan segera.

“Pertama, yang membabitkan ‘aviation security’ (AVSEC), perlu ditempatkan anggota Polis Diraja Malaysia kerana pada waktu ini pasukan yang menguruskan adalah dalam kalangan polis bantuan,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.

Fahmi berkata, KDN dan PDRM turut diminta meneliti aspek yang mungkin boleh disalahgunakan, termasuk sebarang kelompongan dalam sistem sedia ada.

Beliau berkata, pihak Malaysia Aviation Group (MAG) pula diminta menyemak semula protokol saringan latar belakang dan kesihatan bagi juruterbang dan pembantu juruterbang.

“Pada waktu ini kita baru menerima laporan lisan daripada Menteri Pengangkutan dan Menteri Dalam Negeri.

“Memandangkan kes di Indonesia itu masih aktif, maka kita perlukan sedikit masa untuk meneliti laporan penuh,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan meneliti dan mempertimbangkan tindakan susulan, selain langkah penempatan anggota PDRM bersama AVSEC di lapangan terbang selepas menerima laporan penuh mengenai kejadian berkenaan.

“Kita perlu tahu siapa lagi yang kemungkinan terbabit. Mereka yang terbabit perlu dihadapkan ke muka pengadilan dan beberapa tindakan menyeluruh perlu kita ambil untuk pastikan kelompongan dapat ditutup dengan segera,” katanya. -BH Online