JOHOR BAHRU: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap kejayaan Barisan Nasional (BN) yang secara tidak rasmi memperoleh lebih 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini mencetuskan ‘gelombang biru’ untuk negeri lain.null
Pengerusi BN itu berkata, ini susulan mereka akan menghadapi PRN Negeri Sembilan dalam masa terdekat.
“Mudah-mudahan kejayaan ini juga akan mencetuskan gelombang biru untuk negeri-negeri.
“Insya-Allah kita akan menghadapi PRN di Negeri Sembilan dalam waktu terdekat dan selepas itu ke Melaka dan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16,” katanya pada sidang media di ibu pejabat UMNO Johor hari ini.
Mengulas lanjut, Presiden UMNO itu berkata, BN juga akan melaksanakan aku janji seperti di dalam manifesto untuk pengundi di negeri Johor.
“Kami di ibu pejabat BN dan UMNO Malaysia akan memantau prestasi selanjutnya, menyantuni serta menangani permasalahan rakyat agar Johor menjadi negeri maju menjelang tahun 2030,” katanya.
Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, kejayaan BN dalam PRN Johor kali ini juga satu kejayaan rasmi dan peribadi kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
“Tentunya ia dilatarbelakangi oleh sebuah pentadbiran yang cekap untuk negeri Johor dengan kemajuan dan kejayaan di mana ini adalah rekod yang terbaik telah diperlihatkan oleh BN sepanjang empat tahun, tiga bulan dan 19 hari sebelum ini Datuk Onn Hafiz mentadbir Negeri Johor,” katanya.
Beliau turut berjanji pentadbiran kerajaan baharu yang bakal dibentuk akan dilaksanakan dengan lebih baik berbanding sebelum ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga yakin pembentukan kerajaan Johor oleh BN tidak akan menjejaskan hubungan parti di dalam Kerajaan Perpaduan.
“Saya yakin dengan pembentukan kerajaan negeri atas perkenan Tuanku (Sultan Johor), BN tetap menjalin kerjasama dengan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya.
“Kerjasama ini juga kita yakin akan dapat membuahkan hasil bukan sahaja untuk kerajaan negeri tetapi Kerajaan Persekutuan.
“Namun kita harapkan agar segala perancangan yang ada di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan perancangan lain akan dapat diterjemahkan pelaksanaannya,” katanya. – BH Online
