KOTA TINGGI: Malaysia melakar sejarah apabila muncul negara pertama di dunia menubuhkan Tribunal Antibuli sebagai mekanisme khusus dan efektif bagi menangani isu buli secara menyeluruh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata penubuhan tribunal itu mencerminkan kesungguhan Kerajaan MADANI memastikan amalan buli tidak berkembang menjadi budaya dalam masyarakat.
“Negara lain tidak mempunyai tribunal seperti ini… tribunal gangguan seksual memang ada, tetapi Tribunal Antibuli belum pernah diwujudkan.
“Kerajaan MADANI menyedari kita tidak boleh membenarkan budaya buli berleluasa, sebab itu kita wujudkan tribunal ini sebagai pendekatan lebih sesuai menangani kes kanak-kanak dan remaja,” katanya selepas Program Literasi Antibuli Negeri Johor di sini hari ini.
Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata, penubuhan badan kuasi-kehakiman itu bagi mengatasi cabaran sistemik dalam pengendalian kes buli sivil di mahkamah biasa yang kadangkala mengambil masa sehingga sembilan tahun untuk diselesaikan.
Beliau berkata, Akta Antibuli 2026 (Akta 876) digubal berteraskan pendekatan restoratif yang bukan saja memberi perlindungan dan pemulihan kepada mangsa, malah mengambil kira faktor latar belakang pelaku yang mungkin berdepan isu persekitaran tertentu.
“Kadangkala pelaku dan mangsa mempunyai latar belakang serta masalah tertentu, termasuk isu keluarga.
“Jadi, kita mahu mengimbangi kepentingan kedua-dua pihak tanpa mengabaikan keperluan untuk mengambil tindakan terhadap perlakuan buli,” katanya.
Mengulas buli siber, Azalina berkata, tribunal berkenaan akan menilai setiap kes yang dirujuk termasuk permohonan berkaitan kandungan dalam talian berdasarkan fakta dan peruntukan undang-undang ditetapkan.
Beliau berkata, Akta Antibuli 2026 dan Tribunal Antibuli kini berkuat kuasa secara rasmi mulai 16 Jun lalu dan terpakai kepada individu berumur 18 tahun ke bawah.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan akan terus menilai keperluan untuk memperluas skop pelaksanaannya pada masa depan. – BERNAMA

