KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan membentangkan Memorandum Jemaah Menteri berhubung ketetapan dasar bagi penggubalan undang-undang baharu berkaitan e-dagang awal bulan depan.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata ia antara usaha kerajaan untuk mewujudkan kerangka perundangan lebih inklusif dan komprehensif bagi melindungi perniagaan tempatan serta pengguna, ketika sektor e-dagang berkembang pesat dalam pasaran terbuka.
Armizan memaklumkan, kajian semakan semua undang-undang kerangka perundangan berkaitan sektor e-dagang dimulakan sejak April 2024 dan laporan akhir kajian semakan juga sudah selesai serta boleh diakses di laman sesawang KPDN.
“Sebaik keputusan pertimbangan Jemaah Menteri diperoleh, tindakan susulan adalah untuk menyediakan draf rang undang-undang (RUU), yang akan mengambil kira ulasan semua kementerian dan semakan Jabatan Peguam Negara.
“Kerajaan tidak akan sesekali membelakangkan kepentingan pemegang taruh tempatan. Selain komited kepada keterbukaan pasaran, pertumbuhan ini mestilah berlandaskan prinsip keadilan dan tanggungjawab serta diseimbangkan dengan faktor kelangsungan pertumbuhan perniagaan tempatan dan perlindungan pengguna.
“Pengguna perlu dilindungi dan peniaga tempatan khususnya perindustrian mikro, kecil dan sederhana (PMKS) wajib diberi ruang untuk bersaing secara saksama,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat, hari ini.
Selain itu, Armizan berkata, Jemaah Menteri juga memutuskan pembentukan sebuah Jawatankuasa Khas Berkaitan Impak Perniagaan Asing Dalam Negara.
Antara terma rujukan jawatankuasa itu adalah meneliti isu berkaitan impak perniagaan asing dalam negara, seperti risiko lambakan barangan dan perkhidmatan asing, termasuk melalui platform e-dagang serta penyalahgunaan pas imigresen untuk tujuan berniaga dan bekerja di Malaysia.
“Jawatankuasa ini dipengerusikan Kementerian Kewangan dan dianggotai beberapa kementerian serta agensi termasuk KPDN, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, (KUSKOP), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen,” katanya.
Armizan memaklumkan, berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan (DOSM), sektor e-dagang menyumbang RM248.2 bilion, iaitu 13.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).
Dari aspek pendapatan, ia merekodkan trend peningkatan, iaitu RM1.1 trilion pada 2021, 2022 (RM1.13 trilion), 2023 (RM1.18 trilion), 2024 (RM1.23 trilion) dan 2025 (RM1.3 trilion).-BH Online

