Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MAKKAH: Kempen Kebersihan Masyair yang dilaksanakan sejak 2017 dalam kalangan jemaah haji Malaysia terus diperkukuh pada musim haji tahun ini, bagi memastikan budaya menjaga kebersihan sentiasa dihayati.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata kempen itu bukan saja bagi memastikan persekitaran penginapan dan kawasan ibadah sentiasa bersih, malah turut membentuk budaya hidup yang selari dengan semangat sebagai tetamu Allah.

“Alhamdulillah, kita melihat bagaimana jemaah haji Malaysia menunjukkan contoh dan teladan dengan menjaga kebersihan tempat penginapan serta kawasan Masyair.

“Tahun ini kita ingin memperkukuh lagi usaha itu. Kita mahu budaya kebersihan yang selari dengan semangat sebagai tetamu Allah dihayati, termasuk dalam aspek menjaga kebersihan, mengelak pembaziran dan mengamalkan penjimatan,” katanya selepas merasmikan Program Kebersihan Bangunan Penginapan Jemaah Haji di Makkah dan Program Kebersihan Masyair bagi musim Haji 1447H/2026M di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, program itu mencerminkan komitmen berterusan Tabung Haji (TH) dalam memastikan kebajikan, keselesaan dan kesejahteraan jemaah sentiasa diberi perhatian, khususnya dari aspek kebersihan, kesihatan serta persekitaran yang kondusif sepanjang berada di Tanah Suci.

Beliau berkata, usaha itu juga selaras dengan aspirasi Kerajaan Arab Saudi untuk meningkatkan standard kebersihan dan pengurusan persekitaran di Tanah Suci menerusi Visi Saudi 2030.– BERNAMA