KUALA LUMPUR 6 Mei – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) hari ini melancarkan Garis Panduan Sokongan Pekerjaan Golongan Neurodivergen yang pertama di Malaysia, sekali gus menjadi penanda aras dalam mewujudkan ekosistem kerjaya yang lebih inklusif.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, garis panduan tersebut merupakan langkah strategik untuk menangani isu guna tenaga dalam kalangan golongan neurodivergen dan Orang Kurang Upaya (OKU) pembelajaran di negara ini.
Jelas beliau, golongan berkenaan tidak seharusnya dilihat tidak berkeupayaan sebaliknya perlu diiktiraf sebagai aset bakat negara yang mempunyai potensi unik.
“Tujuan utama program ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada majikan tentang kepentingan menyediakan ekosistem kerja yang betul, serta bagaimana memaksimumkan bakat dan potensi mereka secara berkesan dalam industri.
Menurut beliau, daripada lebih 333,000 individu OKU pembelajaran di Malaysia, sebahagian besarnya berada dalam spektrum neurodivergen yang telah membuktikan keupayaan luar biasa, termasuk kejayaan ikon seperti pelukis Artjamila dan pelajar PhD UIAM, Nur Arif Jasmin.
Jelasnya, dengan adanya panduan yang jelas, ia akan memudahkan syarikat korporat dan majikan untuk menyesuaikan kerangka kerja agar lebih mesra kepada komuniti tersebut.
“Dengan adanya panduan yang jelas, ia akan menggalakkan majikan untuk bersama menyahut inisiatif ini supaya lebih mesra kepada golongan ini. Kita perlu lihat ini sebagai peluang terbaik kerana tiada golongan yang harus kita cicirkan.” jelasnya ketika Merasmikan Majlis Pelancaran Garis Panduan Sokongan Pekerjaan Golongan Neurodivergen dan Pertukaran MoU antara PERKESO dan UNDP.
Jelasnya Garis Panduan ini adalah yang pertama diwujudkan di Malaysia sekali gus bakal menjadi penanda aras kebangsaan dalam pembangunan dasar serta program pekerjaan yang lebih inklusif kepada OKU terutamanya golongan neurodivergen
Mengulas mengenai kesediaan pasaran buruh, data portal MYFutureJobs menunjukkan petanda positif apabila lebih 5,482 pencari kerja neurodivergen telah berdaftar dan sedia untuk menyumbang kepada produktiviti negara.
Inisiatif tersebut bakal diperluas ke seluruh negara melalui pendekatan berasaskan bukti, pemadanan kerja menggunakan data, serta program job coaching yang melibatkan penglibatan lebih 70 majikan utama setakat ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KESUMA, Sutekno Ahmad Belon; Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Subahan Kamal dan Timbalan Wakil Residen UNDP Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, Besian Xhezo.-Berita RTM
