JELEBU: Kerajaan memandang serius kes kematian anggota tentera, Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi, 24 dan tidak akan berkompromi sekiranya terdapat unsur jenayah sehingga menyebabkan kematian anggota tentera berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakuan jenayah dan memandang serius perkara yang berlaku.
Katanya, kerajaan komited memastikan keadilan ditegakkan serta memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.
“Saya mengikuti laporan media mengenai kejadian yang menimpa Allahyarham. Kerajaan dan Angkatan Tentera Malaysia tidak akan berkompromi sekiranya terdapat unsur jenayah.
“Tindakan tegas mengikut lunas undang-undang akan diambil dan kes akan dibawa ke mahkamah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2026 Parlimen Jelebu, di Dataran Pertang di sini, malam tadi.
Hadir sama Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad dan Ahli Parlimen Jelebu merangkap Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalauddin Alias .
Ahmad Zahid berkata, sebarang bentuk tindakan disiplin yang melibatkan penderaan fizikal adalah tidak boleh diterima dan bertentangan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Perkara ini harus dijadikan pengajaran supaya semua pihak mematuhi garis panduan sedia ada selain tindakan disiplin tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya, lebih-lebih lagi melibatkan penderaan fizikal.
“Semua pihak perlu mematuhi SOP yang ditetapkan dan tidak menggunakan kaedah di luar garis panduan sedia ada,” katanya.
Mangsa, Muhammad Amirul Raziq, disahkan meninggal dunia pada pukul 9.34 pagi semalam selepas dua minggu menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh, Pahang akibat kecederaan serius.
Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dipukul dalam kejadian di Kem Tentera Batalion 25 RAMD, Bentong pada 31 Mac lalu, yang dipercayai berpunca daripada ketidakpuasan hati berkaitan kerja pembersihan.
Menurut kenyataan Sel Perhubungan Raya Tentera Darat, seorang anggota Pegawai Tidak Tauliah Rendah (PTTR) dipercayai menggunakan kekerasan termasuk menampar dan menumbuk tujuh anggota lain di kem berkenaan.-BH Online
