SUNGAI PETANI: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan berbincang dengan agensi berkaitan berhubung penyiaran Piala Dunia FIFA 2026 yang berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai ini.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, kehangatan edisi kali ini semakin dirasai sehingga wujud desakan agar kejohanan berprestij itu turut disiarkan secara langsung menerusi stesen penyiar tempatan.
“Sebenarnya (hak penyiaran) ini adalah antara pihak penyiaran, kementerian yang berkaitan dan juga FIFA. Sudah tentu ia melibatkan kos dan perbincangan itu membabitkan syarikat penyiaran dan juga kementerian yang berkaitan dengan pihak luar.
“KBS melihat banyak desakan dan juga pandangan daripada masyarakat supaya ada penyiaran Piala Dunia FIFA di negara ini dan sebagai pemegang portfolio KBS, sudah pasti kita mendengar apa juga yang disuarakan oleh para peminat sukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI: Kampung Padang Mahligai di pekarangan Pejabat Penghulu Mukim Sidam Kiri, dekat sini, hari ini.
Dr Mohammed Taufiq berkata, walaupun pelbagai pihak berharap agar Piala Dunia FIFA kali ini dapat disiarkan menerusi stesen televisyen tempatan, implikasi kewangan juga perlu diambil kira.
“Paling penting kita perlu menilai segala aspek untuk mendapatkan hak penyiaran, antaranya aspek penjimatan, kewangan dan sebagainya,” katanya yang memberitahu bahawa KBS sebenarnya tidak terlibat dengan proses perbincangan antara syarikat penyiaran dan kementerian berkaitan berhubung hak penyiaran itu.
Media sebelum ini melaporkan ketika sepak mula hanya berbaki kira-kira dua bulan, hak penyiaran Piala Dunia 2026 yang berlangsung di tiga negara di Amerika Utara masih belum terjual di Malaysia.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Dr Mohammed Taufiq berkata RM1.1 juta telah diperuntukkan bagi projek pembangunan, menaik taraf infrastruktur serta pembinaan dewan serba guna di Kampung Padang Mahligai yang memanfaatkan lebih 100 penduduk.
Beliau berkata inisiatif Kampung Angkat MADANI yang dicetuskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjaya merapatkan jurang antara kawasan bandar dan luar bandar.-BH Online
